KUALA LUMPUR 3 Nov. - Penerbitan wang kertas Singapura bernilai S$1,000 akan dihentikan menjelang 1 Januari 2021.
Perkara tersebut diumumkan oleh pihak penguasa Kewangan Singapura (MAS) dalam satu kenyataan hari ini.
Susulan itu, Bank Pusat juga akan mengurangkan dan menyediakan kuantiti yang terhad terhadap wang kertas berkenaan mulai hari ini hingga Disember 2020.
Mengulas lanjut berkaitan keputusan itu, MAS memberitahu, tindakan itu adalah untuk membendung aktiviti pengubahan wang dan risiko pembiayaan keganasan yang dikaitkan dengan wang kertas bernilai besar.
"Tindakan ini sejajar dengan norma antarabangsa dan bidang kuasa utama yang telah menamatkan penerbitan wang kertas bernilai besar," jelas MAS lagi seperti dilapor BERNAMA.
Wang kertas nilai S$1,000 yang sedia ada akan kekal sebagai wang sah dan akan terus digunakan sebagai instrumen pembayaran nilai barangan yang menjadi dagangan.
“Bank-bank boleh terus mengedarkan semula wang kertas S$1,000 sedia ada yang didepositkan dengan mereka,” tambah MAS lagi.
Wang kertas dengan nilai berbeza pula akan disediakan dalam kuantiti yang mencukupi untuk memenuhi permintaan rakyat.
Nilai yang dikhususkan untuk tujuan penambahan kuantiti itu ialah S$100 kerana nilai tersebut merupakan nilai tertinggi selepas S$1,000. - DagangNews.com