Waqaf FELDA akan menyokong pembentukan model perniagaan baharu - PM | DagangNews Skip to main content

Waqaf FELDA akan menyokong pembentukan model perniagaan baharu - PM


NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 12 Nov - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melancarkan inisiatif Waqaf FELDA yang akan menyokong pembentukan model perniagaan baharu, menyemai benih keberkatan, menyuburkan kebajikan dan sumbangan kepada komuniti serta mengukuhkan kelestarian Felda.

 

Beliau berkata, ia juga bertujuan memangkin ekonomi luar bandar dengan mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan yang biasanya tidak ditembusi syarikat korporat lain dengan objektif lebih terarah kepada memaksimumkan keuntungan.

 

Perdana Menteri berkata, Waqaf FELDA akan melaburkan sebahagian keuntungan pelaburan awal yang disumbangkan oleh Felda dan agensi seperti FGV Holdings Berhads, Koperasi Permodalan Felda, dan MSM Holdings Berhad bagi memastikan ia dapat bergerak dengan lebih mampan sekaligug memberikan manfaat kepada Keuarga Malaysia yang memerlukan.

 

"Sebanyak 30% keuntungan Waqaf FELDA ini akan diperuntukkan kepada kebajikan, lima peratus akan disalurkan kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, manakala selebihnya akan dilabur semula.

 

"Insya-Allah, dengan tadbir urus yang jitu, Waqaf FELDA akan mampu menguruskan aset sehingga 500 juta ringgit menjelang 2030 seperti yang diaspirasikan.

 

"Sehubungan itu, saya meletakkan harapan untuk Felda mengambil peluang ini bagi mempelopori Revolusi Industri 4.0 atau juga masyarakat 5.0 dalam pelaksanaan wakaf dan seterusnya mengangkat Felda sebagai peneraju ekonomi luar bandar," katanya ketika merasmikan program Waqaf FELDA, hari ini.

 

Turut hadir Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh.

 

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga sedang menyediakan Pelan Induk Wakaf Nasional iaitu sebuah pelan holistik bagi memperkasa pengurusan wakaf di Malaysia.

 

Beliau berkata, wakaf telah dijadikan sebahagian daripada kerangka Rancangan Malaysia Ke-12 dengan menggariskan peranan kritikal yang perlu dimainkan institusi wakaf dalam membantu Keluarga Malaysia keluar daripada kepompong kemiskinan dan ia selaras dengan usaha untuk mempelbagaikan sumber kewangan bagi membiayai perniagaan serta meningkatkan ekuiti bumiputera.

 

"Menerusi Bajet 2022, kerajaan memperuntukkan dana permulaan sebanyak RM10 juta bagi memulakan inisiatif Wakaf Halal Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Wakaf Pertanian dan Wakaf Bencana.

 

"Oleh kerana keupayaan konsep wakaf mampu melonjakkan ekonomi masyarakat dan negara, kerajaan akan terus mengangkat wakaf sebagai agenda nasional," katanya.-DagangNews.com