Warisan TC dilantik sebagai pengedar tunggal Malaysia untuk kenderaan elektrik GAC AION China | DagangNews Skip to main content

Warisan TC dilantik sebagai pengedar tunggal Malaysia untuk kenderaan elektrik GAC AION China

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 12 Jan - Unit Warisan TC Holdings Bhd telah dilantik sebagai pengedar tunggal dan eksklusif kenderaan elektrik (EV) untuk pengeluar kereta China, GAC AION.

 

Anak syarikat milik penuh Warisan TC iaitu WTC Automotive (M) Sdn Bhd (WTCA) telah memeterai perjanjian pengedaran dan perkhidmatan dengan GAC AION New Energy Automobile Company Ltd berhubung pelantikan WTCA sebagai pengedar eksklusif tunggal kenderaan EV.

 

Di bawah perjanjian itu, WTCA bertanggungjawab untuk mengimport, mengedar, menjual dan melaksanakan perkhidmatan selepas jualan serta alat ganti dan aksesori untuk kereta EV buatan GAC AION di Malaysia.

 

Perjanjian itu berkuat kuasa untuk tempoh tiga tahun.

 

WTCA, yang terlibat terutamanya dalam pemasangan, pengedaran dan penjualan kenderaan komersial dan penumpang, berkata perjanjian pengedaran dan perkhidmatan itu akan memberi peluang kepada kumpulan untuk mempelbagaikan aktiviti perniagaannya dengan mengembangkan rangkaian produk kepada sektor EV untuk memenuhi keperluan asas pelanggan yang pelbagai.

 

GAC AION pula terlibat terutamanya dalam penyelidikan & pembangunan, pembuatan, penjualan kenderaan elektrik, perkhidmatan alat ganti dan komponen di China. Syarikat itu ditubuhkan pada 2017 dan berada di bawah Kumpulan GAC.


 

gac aion
Kilang pembuatan kereta elektrik GAC AION di China - Gambar XINHUA

 


GAC AION mempunyai kilang pembuatan di China (Guangzhou dan Changsha) dan Thailand.

 

Warisan TC berkata perjanjian itu memerlukan pembiayaan untuk tujuan modal kerja dan akan memberi kesan kepada penggearannya untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY2024).

 

Bagaimanapun, ia berkata perjanjian itu dijangka tidak mempunyai sebarang kesan material ke atas pendapatan sesaham dan aset bersih sesahamnya untuk FY2024.

 

Pada FY2022, nisbah penggearan bersihnya berada pada 0.66 kali, meningkat daripada 0.51 kali pada TK2021.

 

Perniagaan teras Warisan TC adalah pelbagai, terdiri daripada perkhidmatan pelancongan, penyewaan kereta dan pengedaran peralatan dan jentera pembinaan. Ia juga mengedarkan produk pengguna seperti kosmetik Shiseido dan pakaian dalam Wacoal.


 

parafrasa

 


Warisan TC merupakan satu entiti di dalam kumpulan syarikat Tan Chong Motor Holdings Bhd, yang memasang dan mengedarkan jenama Nissan dan Renault.

 

Tan Heng Chew, presiden kedua-dua syarikat, masing-masing memegang 48.53% dan 47.14% dalam Warisan TC dan Tan Chong Motor, menurut laporan tahunan. - DagangNews.com