Wasiyyah Shoppe lancar pembangunan hibah digital | DagangNews Skip to main content

Wasiyyah Shoppe lancar pembangunan hibah digital

Dari kiri, Prof Dr Loo Chu Kiung; Dr Aznul Qalid Md Azri, Omar Mokhtar bin Kasim, Ariffin Sabirin, Ts Dr Nor Badrul Anuar bin Juma’at, Dr Mohd Hairul Nizam bin Md Nasir dan Nordzat bin Mohd Yusof pada majlis menandatangani perjanjian pada 6 Julai 2022.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 13 Julai - Wasiyyah Shoppe Berhad menandatangani perjanjian dengan Fylix Sdn Bhd, anak syarikat UM Capital Berhad dan jurutera perisian Omar Mokhtar bin Kasim pada 6 Julai 2022.  

 

Melalui perjanjian ini, ketiga-tiga pihak bersetuju untuk menjadi pemegang saham di dalam Himayah Technology Sdn Bhd yang menerajui usaha pembangunan Sistem Hibah Digital yang bakal digunakan oleh Wasiyyah Shoppe Berhad.

 

Di dalam perjanjian ini, Omar Mokhtar Kasim, graduan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Malaya dilantik sebagai Ketua Pegawai Teknologi  Himayah Teknology dan mengetuai usaha pembangunan sistem inovatif ini bersama beberapa graduan fakulti yang sama.

 

Melalui sistem ini, pelanggan dengan bantuan daie Wasiyyah Shoppe Berhad boleh menyediakan dokumen hibah mereka secara digital dan boleh juga berakad hibah secara digital melalui aplikasi telefon bimbit dengan penerima hibah yang boleh berada di mana-mana lokasi di seluruh dunia tanpa perlu bersemuka. Sistem ini akan menghapuskan risiko sebarang bentuk jangkitan penyakit pandemik.   

 

Menurut Ariffin Sabirin, Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, idea untuk pembangunan sistem ini sudah pun bermula sebelum negara melalui Perintah Kawalan Pergerakan pertama 2020 namun ia beberapa kali tertangguh akibat kekangan fizikal ketika itu. Pandemik Covid-19 yang menyerang selepas itu juga menyebabkan sistem ini diubahsuai beberapa kali mengikut kesesuaian semasa.

 

“Keistimewaan utama sistem hibah digital ini ialah kerana ia adalah sistem yang melaksanakan akad dan syarat hibah patuh Syariah tanpa kertas yang pertama di Malaysia dan kami percayai ia juga yang pertama di dunia. Hibah boleh dilaksanakan melalui telefon bimbit sahaja dan semua dokumen hibah pelanggan akan disimpan secara digital di sistem awan yang mempunyai sistem keselamatan yang ampuh. Ia juga mudah untuk dicapai pada bila-bila masa oleh pelanggan.” Ulas Ariffin.

 

Wasiyyah Shoppe menjangkakan seramai 15,000 pelanggan akan mengguna pakai sistem ini di dalam tempoh 12 bulan akan datang dan menyumbang 50% kepada asas pendapatan Syarikat bagi tempoh tersebut.   

 

Ariffin juga melahirkan keyakinan dengan kualiti graduan teknologi maklumat yang dilahirkan Universiti Malaya dan percaya perjanjian dengan Fylix Sdn Bhd akan membuka peluang yang lebih luas kepada Wasiyyah Shoppe untuk mendapat akses bakat yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai teknopreneur berkaitan operasi Wasiyyah Shoppe pada masa hadapan.

 

“Strategi kerjasama ini diyakini dapat membantu Wasiyyah Shoppe Berhad untuk mencapai objektif  mendigitalkan sepenuhnya aspek operasi kami menjelang 2025.” Tambah Ariffin.

 

 

WasiyyahShoppe
Ariffin Sabirin memeterai perjanjian bagi pihak Wasiyyah Shoppe Berhad manakala Dr Mohd Hairul Nizam Md Nasir bagi pihak Fylix.

 

 

Perjanjian ditandatangani oleh Ariffin bagi pihak Wasiyyah Shoppe Berhad, pengarah Fylix Sdn Bhd, Dr Mohd Hairul Nizam Md Nasir dan Omar Mokhtar.

 

Majlis disaksikan oleh Prof Madya Ts Dr Nor Badrul Anuar bin Juma’at, Penolong Naib Canselor Infrastruktur dan Perkhidmatan Maklumat Universiti Malaya, Prof Dr Loo Chu Kiung, Dekan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Malaya, Dr Aznul Qalid Md Azri, pengarah Fylix Sdn Bhd, Adzfar bin Aziz, Ketua Pengurusan Inovasi dan Perniagaan UM Capital Berhad, Nordzat bin Mohd Yusof, Naib Presiden Eksekutif Kewangan dan Perkhidmatan Korporat Wasiyyah Shoppe Berhad serta pengurusan kanan Syarikat. - DagangNews.com