Waspada kongsi maklumat di laman cari teman - SKMM | DagangNews Skip to main content

Waspada kongsi maklumat di laman cari teman - SKMM

Waspada kongsi maklumat di laman cari teman

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 15 Feb. - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menasihati orang ramai agar berwaspada berkongsi maklumat peribadi ketika melayari media sosial atau aplikasi dalam talian khususnya kepada orang yang tidak dikenali di laman pencarian teman.

 

SKMM berkata, saranan itu dibuat berhubung gimik pemasaran laman cari teman Sugarbook baru-baru ini yang mendakwa semakin ramai wanita Malaysia, terutamanya penuntut universiti yang menawarkan diri sebagai Sugar Baby di laman aplikasi tersebut. 

 

"Dakwaan seperti yang terdapat dalam gimik pemasaran itu perlu disiasat untuk disahkan kerana profil pengguna boleh diolah sesuka hati untuk tujuan-tujuan yang berlainan termasuk untuk memperdaya mangsa.

 

"Selain daripada Sugarbook, terdapat pelbagai aplikasi lain yang menawarkan perkhidmatan “dating service” atau percintaan dalam talian. Pengguna harus sedar bahawa mereka mudah tertipu dan terdedah kepada risiko jenayah siber sekiranya tidak mengambil langkah keselamatan siber dan kawalan kendiri.

 

"Risiko scam percintaan (love scam) akan tertambah dengan terdedah juga kepada malware dan spyware, kebocoran maklumat peribadi dan gangguan seksual," kata SKMM dalam satu kenyataan hari ini.

 

SKMM kini sedang menjalankan siasatan ke atas aplikasi Sugarbook yang didakwa mempromosikan gaya hidup tidak bermoral.

 

Siasatan tersebut menjurus kepada usaha mengenal pasti sama ada aplikasi itu berdaftar di Malaysia atau hanya diguna pakai di negara ini, sebelum tindakan lanjut dilakukan.

 

Dalam kenyataan sama, SKMM memberitahu, pihaknya akan terus memantau and menyiasat bersama PDRM ke atas aplikasi Sugarbook dan akan mengambil tindakan terhadap pengguna dan pemilik platform itu sekiranya didapati melakukan aktiviti yang melanggar undang-undang negara.

 

"Jika terdapat unsur kegiatan pelacuran, tindakan lanjut akan dijalankan oleh PDRM. 

 

"Ibu bapa dan penjaga pula dinasihatkan untuk sentiasa mengawasi tingkah laku dalam talian anak di bawah jagaan masing-masing dan peka dengan perubahan gaya hidup yang boleh menimbulkan keraguan," tambah SKMM. - DagangNews.com