Waspada scammer guna nama dan pengurusan kanan Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Waspada scammer guna nama dan pengurusan kanan Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR 8 Jan - Bursa Malaysia Bhd menggesa orang ramai untuk terus berwaspada memandangkan peningkatan jumlah penipuan pelaburan dalam talian yang menggaitkan Bursa Malaysia dan pengurusan kanannya. 

 

Bursa itu tidak membenarkan atau menyokong aktiviti pelaburan tidak berlesen tersebut. 

 

"Kami menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan tidak mengklik mana-mana pautan yang disediakan oleh kiriman mencurigakan, yang mengundang anda untuk 'mengambil bahagian' dalam skim pelaburan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Orang ramai diminta untuk tidak mengklik alamat web atau e-mel yang menyalahgunakan institusi yang diberi kuasa, memeriksa sama ada perniagaan itu dilesenkan dan diberi kuasa oleh badan pengawalseliaan selain tidak berkongsi butiran perbankan, nombor kad pengenalan atau kata laluan kepada sesiapa sahaja apabila berhadapan dengan skim pelaburan dalam talian yang mencurigakan. 

 

"Laporkan kepada pihak berkuasa jika anda telah diganggu atau ditekan untuk membuat transaksi yang mencurigakan, pelaburan atau menerima deposit wang haram," katanya.

 

Bursa itu sentiasa mengemas kini senarai laman web, produk pelaburan, syarikat dan individu yang tidak dibenarkan. 

 

"Penggunaan logo dan imej Bursa Malaysia termasuk pengurusannya tanpa kelulusan adalah dilarang sama sekali serta melanggar hak cipta dan tanda dagangan kami.

 

''Kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa sahaja yang menyalahgunakannya," katanya.

 

Senarai laman web dan kiriman yang tidak menerima pengesahan dari bursa boleh dilihat pada https://bursaacademy.bursamarketplace.com/en/sc-investor-alert.

 

"Sekiranya anda menemukan sebarang kiriman yang mencurigakan di platform dalam talian seperti laman web, aplikasi media sosial dan juga mulut ke mulut, sila laporkannya kepada kami dengan menghubungi talian 03-2732 0067 atau e-mel kepada kami di [email protected]," katanya. 

 

Orang ramai turut diingatkan untuk hanya melabur dengan perantara berlesen dan menghubungi broker berlesen bagi membimbing pelaburan yang betul jika orang ramai ingin berdagang saham di Bursa Malaysia. 

 

"Makluman ini adalah sebahagian daripada inisiatif perkhidmatan awam berterusan Bursa Malaysia untuk mendidik orang ramai terhadap penipuan dalam talian. Ingat, jika ia kedengaran terlalu baik untuk menjadi kenyataan, ia adalah berkemungkinan besar adalah satu penipuan," tambahnya. - DagangNews.com