Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 5 Nov. - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memberi amaran kepada orang awam untuk berhati-hati terhadap firma-firma klon yang menawarkan peluang pelaburan tidak wujud.
Jelas SC, skim penipuan oleh syarikat palsu itu menyamar sebagai entiti yang sah, termasuk menyalahguna nama dan logo syarikat awam tersenarai (public listed company atau PLC) untuk memperdaya pelabur dan mendapatkan dana daripada mereka.
Pada bulan Mei, SC juga mengeluarkan peringatan mengenai firma klon penipuan yang menyamar sebagai pengantara pasaran modal berlesen.
“Skim penipuan klon terkini termasuk PLC dalam sektor perubatan, sarung tangan dan hartanah yang telah menarik minat pelabur semasa wabak COVID-19. Entiti yang terlibat telah membuat laporan polis dan / atau membuat aduan kepada SC mengenai pengklonan identiti korporat mereka oleh individu atau organisasi yang tidak dikenali.
“Selain nama dan logo PLC ini, penipu juga menggunakan bukti kelayakan korporat, laman sesawang dan butiran lain entiti yang sah ketika mempromosi skim berkenaan melalui saluran media sosial seperti Facebook, WhatsApp dan Twitter,” kata SC dalam satu kenyataan hari ini.
Mangsa kebiasaannya diarahkan untuk memberi maklumat peribadi seperti nama, nombor kad pengenalan dan butiran bank seterusnya akan diminta memindahkan dana ke dalam akaun bank peribadi penipu tersebut.
Setelah itu, penipu akan meminta mangsa untuk memberikan lebih banyak wang kononnya untuk pembayaran cukai pendapatan, yuran pentadbiran, caj bank, yuran pengeluaran atau kadar pertukaran.
Sehubungan itu, SC mengingatkan para pelabur agar sentiasa berhati-hati ketika menilai peluang pelaburan, terutamanya yang menjanjikan pulangan sangat tinggi dengan sedikit atau tanpa risiko serta menyarankan bimbingan penasihat berlesen dan sah.
Pelabur digesa untuk mengesahkan status individu atau syarikat yang menawarkan peluang pelaburan melalui laman sesawang SC di:
(a) www.sc.com.my/regulation/licensing/licensed-and-registered-persons dan
(b) www.sc.com.my/development/digital/list-of-registered-recognized-marketoperators
“SC juga menggesa orang ramai untuk mengesahkan butiran akaun bank melalui aplikasi dan laman sesawang 'Semak Mule' dalam talian yang disediakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyemak kesahihan akaun bank dan nombor telefon yang digunakan untuk kegiatan penipuan atau sekiranya pemilik akaun tersebut mempunyai rekod jenayah.
“Orang ramai yang mengesyaki bahawa mereka telah didatangi oleh firma atau individu tidak sah yang menawarkan skim menjanjikan pulangan indah khabar dari rupa, boleh membuat laporan kepada Jabatan Pengguna dan Pelabur kami di talian 603 6204 8999 atau e-mel [email protected],” tambah SC. - DagangNews.com