WCE meterai perjanjian dengan kerajaan sehingga RM400 juta bagi projek lebuh raya | DagangNews Skip to main content

WCE meterai perjanjian dengan kerajaan sehingga RM400 juta bagi projek lebuh raya

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 11 Okt - WCE Holdings Bhd. menerusi anak syarikatnya, West Coast Expressway Sdn. Bhd. (WCESB) telah memeterai Perjanjian Kos Tanah Boleh Dibayar Balik dengan Kementerian Kewangan sehingga RM400 juta untuk membiayai sebahagian kos pengambilan tanah bagi projek Lebuh Raya Pantai Barat, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini. 

 

Syarikat itu berkata, ia akan menyediakan aku janji pemegang saham kepada WCESB berkenaan dengan pembiayaan kos tanah yang boleh dibayar balik (RLC) untuk memastikan projek tersebut berjaya disiapkan dan, antara lain, mengperkenalkan caj tetap pinjaman ke atas semua aset semasa dan masa hadapan WCESB.

 

WCESB adalah anak syarikat 80% miliknya. Kumpulan ketika ini sedang membina Lebuh Raya Pantai Barat bertol sepanjang 233 kilometer (km) dari Banting, Selangor ke Taiping, Perak yang menelan kos sebanyak RM5.04 bilion. 

 

IJM Corp Bhd mempunyai 28.81% pegangan dalam WCE. Lebuh raya itu dibina secara bina-operasi-pemindahan, dengan tempoh konsesi sehingga 60 tahun.

 

Ia bakal muncul lebuh raya ketiga terpanjang di negara ini selepas Lebuh Raya Utara-Selatan sepanjang 966 km dan Lebuh Raya Pantai Timur, 330 km.

 

Keseluruhan lebuh raya pantai baharu, yang mempunyai 21 persimpangan iaitu 11 di Perak, dengan selebihnya di Selangor, bermula di persimpangan dengan Jalan Negeri Selangor B18, dari Banting dan berakhir di plaza tol Changkat Jering di Lebuh Raya Utara-Selatan di Taiping. - DagangNews.com