Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 16 Julai - Syarikat pembinaan dan kejuruteraan, WCT Holdings Berhad menerusi anak syarikat, WCT Berhad hari ini telah menerima bayaran penyelesaian awal berjumlah AED279.45 juta atau kira-kira RM319.18 juta dari Meydan Group LLC.
Ini berhubung Perjanjian Penyelesaian yang dimeterai antara kedua-dua pihak susulan pembatalan kontrak gelanggang lumba kuda Nad Al Sheba Dubai, menurut makluman WCT di Bursa Malaysia, hari ini.
“Menerusi penerimaan bayaran awal ini, Perjanjian Penyelesaian tidak lagi bersyarat.
“Sebarang perkembangan berhubung kes ini akan dimaklumkan kemudian,” jelas WCT.
WCTB dan Meydan telah memeterai Perjanjian Penyelesaian berhubung pembatalan kontrak itu pada 13 Julai lalu di mana syarikat dari Dubai itu akan membayar AED726.57 juta atau sekitar RM828.25 juta kepada anak syarikat WCT sebagai penyelesaian akhir.
WCT sebelum ini juga telah memaklumkan bahawa anak syarikatnya akan menerima bayaran awal itu pada atau sebelum 20 Julai 2021.
Baca : Pembatalan kontrak Dubai: WCT terima RM828 juta bayaran akhir daripada Meydan Group
Ini bersamaan 25% daripada jumlah asal sebanyak RM1.31 bilion yang ditetapkan tribunal timbang tara Dubai kepada WCTB.
Portfolio pembangunan hartanah kumpulan meliputi perbandaran, perumahan mewah, kediaman bertingkat, pembangunan komersial bersepadu, menara pejabat dan pusat beli-belah.
Sebagai rekod, WCT memiliki lima buat pusat beli belah iaitu Bukit Tinggi Shopping Centre di Klang, pusat beli-belah di lapangan terbang gateway@klia2 dan SkyPark Terminal, Paradigm Mall di Petaling Jaya dan Paradigm Mall di Johor Bahru.
Pada tahun 2018, WCT memasuki usaha sama pembangunan dan pengurusan komersial serta infrastruktur dan kemudahan berkaitan penerbangan di Lapangan Terbangan Sultan Abdul Aziz Shah. - DagangNews.com