KUALA LUMPUR 15 Mei - Widad Group Bhd memeterai perjanjian penjualan saham bersyarat bagi cadangan pembelian 100 peratus kepentingan ekuiti dalam Palm Shore Holdings Sdn Bhd (PSHSB) merangkumi tujuh juta saham biasa bernilai RM16.63 juta yang akan dibayar menggunakan tunai.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata ia turut melaksanakan pembayaran semula hutang PSHSB berjumlah RM18.34 juta, yang secara terkumpul dengan urus niaga tunai, membentuk pertimbangan berjumlah RM35 juta.
PHSSB memegang konsesi pusat latihan bersepadu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), juga dikenali sebagai Kompleks TLDM KD Seri Medini di daerah Johor Bahru, dengan baki tempoh konsesi 17 tahun dan lapan bulan bernilai RM272.72 juta.
Konsesi itu akan berakhir pada 20 Disember 2039, demikian Bernama melaporkan.
Widad berkata, cadangan pembelian itu adalah sejajar dengan aktiviti teras kumpulan itu iaitu pembinaan dan pengurusan kemudahan bersepadu.
Pembelian itu juga, katanya, akan terus mengukuhkan baki tempahan kontrak dalam tangan kepada kira-kira RM1.84 bilion, selain mempelbagaikan lagi tawaran perkhidmatan pengurusan kemudahan bersepadunya. - DagangNews.com