KUALA LUMPUR 12 Sept - Widad Group Bhd. menerusi anak syarikat milik penuhnya, Widad Builders Sdn. Bhd. meraih kontrak pembinaan dan kerja tanah bernilai RM40 juta bagi projek The Langkasuka di Langkawi, Kedah.
Ia memperoleh anugerah (LOA) daripada Widad Business Group menerusi anak syarikat milik penuhnya, Langkasuka Land Sdn. Bhd. bertarikh 9 September 2022.
Bakal mengubah landskap sektor pelancongan dan hartanah di pusat pelancongan itu, projek mega bernilai RM40 bilion itu akan memulakan kerja pembinaan pada 22 September 2022 selama 10 bulan dan dijangka siap menjelang 22 Julai 2023.
Kontrak itu yang merupakan sebahagian daripada fasa pertama dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM4.45 bilion, terdiri daripada pelaksanaan dan menyiapkan pembersihan tapak dan kerja tanah, tembok penahan, kerja-kerja perlindungan alam sekitar dan kerja berkaitan yang penting untuk projek tersebut.
Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Widad Business Group, Tan Sri Ikmal Opat Abdullah berkata, The Langkasuka adalah salah satu projek terbesar kumpulan dan ia adalah penting untuk mengenal pasti kontraktor yang tepat untuk melaksanakan projek tersebut.
Katanya, projek berkenaan adalah unik dan menjadi satu-satunya yang seumpamanya di Malaysia dan juga rantau Asia Tenggara.
"Malah, ia dijangka membentuk semula landskap pelancongan di Langkawi sekali gus menjadi destinasi pilihan bagi pelancong antarabangsa dan tempatan dan melonjakkan nilai hartanah ke tahap lebih tinggi.
"Selain menikmati faedah industri pelancongan yang akan datang, projek ini juga akan membawa nilai tambah seperti peluang penciptaan pekerjaan dan merancakkan aktiviti ekonomi di pulau ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pembangunan bercampur seluas 2,000 ekar pulau buatan manusia itu akan dibangunkan dalam dua fasa selama 15 tahun.
Fasa pertama terdiri daripada padang golf bertaraf antarabangsa dan mampu menganjurkan kejohanan di tepi laut, vila yang permai dan rumah peranginan dengan unsur seni bina Melayu yang disuntik dengan pemandangan panorama padang golf dan matahari terbenam di Langkawi.
Di samping itu, ia turut dilengkapi dengan pusat beli-belah, Designers' Brand Mall, bazar beli-belah The Langkasuka Village, hotel lima bintang dengan pemandangan laut menghadap laut Andaman serta kondominium mewah dengan pemandangan laut. - DagangNews.com