KUALA LUMPUR 1 Ogos - Willowglen MSC Berhad menerusi anak syarikatnya, Willowglen Services Pte Ltd berjaya meraih kontrak bernilai RM12.58 juta daripada SP PowerAssets Limited, Singapura untuk penyelenggaraan Unit Terminal Jauh Willowglen 6.6kV.
Kumpulan itu berkata, tarikh mula kontrak adalah pada 1 September 2023 dan dijangka siap pada 31 Mac 2029.
"Kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 hingga 2029," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Kumpulan itu berkata, kontrak itu bagaimanapun tidak boleh diperbaharui dan risiko berkenaan dengan kontrak adalah risiko perniagaan biasa.
Tiada pengarah dan/atau pemegang saham utama syarikat atau orang yang berkaitan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan, secara langsung atau tidak langsung dalam kontrak baharu yang diberikan.- DagangNews.com