'Women Technologist Chapter' galak lebih ramai wanita sebagai teknologis profesional | DagangNews Skip to main content

'Women Technologist Chapter' galak lebih ramai wanita sebagai teknologis profesional

Ts Sharifah Zaida Nurlisha Syed Ibrahim dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa Women Technologist Chapter di Kuala Lumpur 7 Jun 2022.

KUALA LUMPUR 7 Jun - Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) telah menubuhkan satu jawatankuasa dinamakan Women Technologist Chapter bagi menggalakkan jumlah teknologis profesional dalam kalangan wanita yang masih rendah peratusannya di Malaysia.

 

Presiden MBOT Datuk Ir Ts Dr Siti Hamisah Tapsir berkata statistik data MBOT menunjukkan keahlian profesional kalangan wanita agak rendah iaitu sekitar  20
peratus sahaja. 

 

"Berdasarkan data yang dikeluarkan Kementerian Pengajian Tinggi pada tahun 2020, majoriti bilangan pelajar di institut pengajian tinggi (IPT) adalah terdiri daripada kalangan wanita.

 

“Namun, jika dibandingkan dengan jumlah ahli profesional wanita MBOT, jumlah pendaftarannya adalah rendah, hanya sekitar 20 peratus sahaja dalam kalangan wanita.

 

"Justeru itu, perlunya pemerkasaan ini untuk meningkatkan kedudukan, keterlibatan dan pengiktirafan Teknologis dan Juruteknik wanita," katanya semasa majlis MBOT Experts Network In Technology, Innovation And Cooperative Event (Entice) 2022 di sini Selasa.

 

Majlis tersebut juga menyaksikan Ts Sharifah Zaida Nurlisha Syed Ibrahim dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa itu, Bernama melaporkan.

 

Siti Hamisah turut berkata keadaan itu berlaku kerana ramai teknologis wanita berhenti bekerja selepas berkahwin untuk menguruskan rumah tangga.

 

"Kami dapati ramai graduan wanita hanya bekerja setahun dua dan selepas mereka berkahwin, mereka terpaksa berhenti bekerja untuk menjaga anak.

 

"Oleh itu, Women Technologist Chapter juga ditubuhkan untuk tujuan membantu wanita ahli MBOT mengimbangi antara kerjaya dan keluarga.

 

"Untuk membantu mereka ini, kami dalam perancangan untuk laksanakan program-program seperti bagaimana mahu mengimbangi antara kerjaya dan keluarga, bagaimana menguruskan stres dan sebagainya tahun ini," jelasnya.  

 

Inisiatif MBOT itu juga, mendapat sokongan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

 

"MOSTI sedar kewujudan ramai wanita yang hebat dalam bidang sains dan teknologi. Sebagai sebuah negara yang inklusif, kami  juga harus mengetengahkan
profesional wanita bukan sahaja di peringkat utama, malah di peringkat pengurusan dan pertengahan.

 

"Saya ucapkan tahniah MBOT atas inisiatif ini," kata Timbalan Menteri kementerian itu Datuk Ahmad Amzad Hashim semasa merasmikan majlis tersebut.

 

MBOT Entice 2022 merupakan penjenamaan semula program Townhall yang sebelum ini dijalankan sebagai usaha kolektif untuk menghimpunkan ahli-ahli profesional MBOT bersama pemegang taruh bagi memperkukuh profesion Teknologis dan Juruteknik di Malaysia. - DagangNews.com