Woodpeckers buka cawangan pertama ChaTraMue di IOI City Mall | DagangNews Skip to main content

Woodpeckers buka cawangan pertama ChaTraMue di IOI City Mall

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Okt - Woodpeckers Sdn. Bhd. melancarkan cawangan pertama teh susu terkemuka Thailand, ChaTraMue di IOI City Mall, Putrajaya, hari ini.

 

Cawangan itu merupakan antara 40 cawangan disasarkan pembukannya di negara ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Woodpeckers, Tan Kai Young berkata, selepas kejayaan llaollao, pihaknya percaya teruja untuk memperkenalkan ChaTraMue kepada warga Malaysia dan percaya ia akan membuahkan hasil yang positif.

 

Beliau berkata, pihaknya sentiasa mencari rasa unik dalam makanan dan minuman untuk dibawa ke Malaysia.

 

"Melihat kepada kejayaan llaollao serta penglibatan terbaru kami dalam segmen ‘fine-dining’ melalui Restoran TBC, kami kini ingin membawa lebih banyak kegembiraan ke dalam dunia teh susu Malaysia dengan memperkenalkan ChaTraMue secara besar-besaran.

 

“Proses dan sistem sudah tersedia dan terbukti berkesan dalam mengembangkan jenama-jenama kami, terutamanya IIaoIIao. Kami akan menggunakan pendekatan yang sama bagi  ChaTraMue,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, Pengurus Operasi Jenama Woodpeckers, Ricky Tjandra berkata, pihaknya akan menggunakan daun teh yang sama di Thailand di Malaysia bagi memberikan rasa yang sama seperti di ChaTraMue Bangkok.

 

Beliau berkata, Woodpeckers komited untuk membuka 40 cawangan ChaTraMue di seluruh Malaysia menjelang akhir tahun depan. Strategi perkembangan yang agresif ini menunjukkan kesungguhan mereka dalam menawarkan minuman istimewa ini kepada lebih ramai pelanggan.

 

Katanya, Woodpeckers telah meninjau dan mengenal pasti beberapa lokasi untuk membuka sehingga 10 cawangan ChaTraMue tahun ini dan lima lagi cawangan pada suku pertama tahun depan.

 

“Kami akan meningkatkan lagi pembukaan cawangan kami kepada sembilan cawangan setiap suku tahun seterusnya, menjadikan jumlah keseluruhan kedai kepada lebih kurang 40 cawangan menjelang akhir tahun depan," katanya. - DagangNews.com