WTK ambil alih 70% kepentingan ekuiti Durafarm berharga RM132.2 juta | DagangNews Skip to main content

WTK ambil alih 70% kepentingan ekuiti Durafarm berharga RM132.2 juta

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 11 Ogos - WTK Holdings Berhad menerusi anak syarikatnya, BioFarm Venture Sdn Bhd bercadang untuk mengambil alih 70% kepentingan ekuiti dalam Durafarm Sdn Bhd untuk jumlah pertimbangan tunai sebanyak RM132.2 juta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, WTK berkata BioFarm Venture telah memeterai perjanjian penjualan saham bersyarat (SSA) dengan Ocarina Development Sdn Bhd bagi memperoleh 9.8 juta saham biasa dalam Durafarm.

 

Menurut WTK, Ocarina sedang dalam proses pembubaran setelah diletakkan di bawah penggulungan oleh Mahkamah Tinggi Sibu pada 30 Ogos 2018.

 

“Tanpa sebarang keadaan tidak dijangka dan tertakluk kepada semua kelulusan yang diperlukan, lembaga pengarah menjangkakan cadangan pengambilalihan akan diselesaikan pada suku keempat 2023,” katanya.

 

Durafarm terlibat terutamanya dalam perniagaan penanaman dan pengurusan ladang kelapa sawit di Betong dan Sri Aman, Sarawak dengan pasaran utama penjualan buah tandan segar semata-mata di Sarawak.

 

Setakat 21 Julai 2023, aset utama Durafarm terdiri daripada 19 tanah ladang seluas kira-kira 5,040.97 hektar di Sarawak, di mana kira-kira 4,010.57 hektar telah ditanam sepenuhnya dengan pokok kelapa sawit dan 867.31 hektar lagi sedang dibangunkan untuk penanaman semula.

 

Menurut WTK, setelah Durafarm selesai diambil alih, kawasan tanaman kelapa sawit yang dipegang oleh kumpulan akan meningkat daripada 16,428.50 hektar kepada 20,439.07 hektar, peningkatan kira-kira 24%.

 

“Sehubungan itu, apabila kelapa sawit memasuki tempoh matang dan beralih ke kurungan umur hasil yang lebih tinggi, hasil kelapa sawit Durafarm bersedia untuk bertambah baik dan momentum pertumbuhan dalam hasil dan pendapatan Durafarm dijangka berterusan pada tahun-tahun kewangan akan datang,” tambahnya.  

 

Saham WTK ditutup rendah pada 45.5 sen, turun 0.5 sen atau 1.1% dengan permodalan pasarannya sebanyak RM219 juta. - DagangNews.com