WWA 2021: Peluang pasaran produk kraf | DagangNews Skip to main content

WWA 2021: Peluang pasaran produk kraf

.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 20 April - Promosi Warna-Warni Hari Raya Aidilfitri (WWA) 2021 yang dianjurkan bermula 15 April hingga 2 Mei 2021 memberi peluang kepada usahawan kraf memasarkan produk yang digunakan dalam persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti.

 

Promosi anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) menerusi Kraftangan Malaysia itu dijalankan bermula 10.00 pagi hingga 6.00 petang (Isnin-Khamis) dan 10.00 pagi hingga 10.00 malam (Jumaat-Ahad) bertempat di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay. 

 

Menteri MOTAC, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, promosi berkenaan adalah inisiatif kerajaan dalam membantu usahawan ketika negara berdepan penularan wabak COVID-19 selain promosi fizikal pertama yang dilaksanakan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 13 Januari 2021.

 

Nancy Shukri
Nancy Shukri.

 

"WWA 2021 menyasarkan 220 usahawan di mana 100 usahawan di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, manakala 120 usahawan berada di lapan lokasi terpilih. 

 

"Di samping itu, terdapat juga penyertaan usahawan bukan kraf yang menawarkan perkhidmatan dan produk Aidilfitri," katanya dalam satu kenyataan.

 

Program yang telah dianjurkan sejak 2003 itu bertemakan 'Kraf Di Hati, Hari Raya Aidilfitri Dinanti' yang menonjolkan kemeriahan sambutan melalui kreativiti dan idea-idea baharu sesuai dengan persiapan menyambut hari lebaran.

 

Pelaksanaan promosi WWA 2021 turut diadakan serentak di lapan lokasi pusat beli-belah terpilih di peringkat negeri seperti East Coast Mall di Pahang (13 usahawan), KTCC Mall di Terengganu (21 usahawan), AEON Mall Kuching di Sarawak (39 usahawan), AEON Mall Kinta City di Perak (3 usahawan), AEON Mall Nilai @ Seremban 2 di Negeri Sembilan (16 usahawan).

 

Selain itu, MYDIN Mall Bertam di Pulau Pinang (6 usahawan), Freeport A'Famosa Outlet di Melaka (19 usahawan) dan One Utama Shopping Centre di Selangor (3 usahawan). 

 

Menariknya, pengunjung WWA 2021 bakal menikmati harga diskaun menarik bagi barangan yang dijual.

 

Tambah beliau, WWA 2021 turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik termasuk jualan produk kraf dan produk perkhidmatan Hari Raya Aidilfitri, pameran, demonstrasi kraf, interaktif kraf, demonstrasi masakan dan kuih tradisional serta pelbagai pertandingan menarik lain.

 

"Sebagai usaha mempromosi dan memasarkan produk kraf Aidilfitri dengan lebih meluas, orang ramai juga boleh mendapatkan produk kraf menerusi platform digital iaitu E-Kraf Bazar dan MYCRAFTSHOPPE.

 

"Pihak Kementerian ingin mengingatkan para pengunjung di setiap tapak promosi supaya mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan dalam usaha memerangi wabak COVID-19," tambah beliau. - DagangNews.com