Yayasan AirAsia lancar kempen Bantuan Banjir Malaysia menerusi aplikasi BigPay | DagangNews Skip to main content

Yayasan AirAsia lancar kempen Bantuan Banjir Malaysia menerusi aplikasi BigPay

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Dis - Yayasan AirAsia melancarkan kempen derma Bantuan Banjir Malaysia bagi membantu membina semula komuniti yang terjejas akibat banjir di beberapa negeri di negara ini.

 

Kempen tersebut bermula hari ini menerusi aplikasi BigPay dan kutipan derma secara tunai dalam semua penerbangan AirAsia bermula hujung minggu ini.

 

Semua sumbangan yang diterima akan diperuntukkan untuk membina semula infrastruktur yang rosak di negeri-negeri yang terlibat.

 

Pengarah Eksekutif Yayasan AirAsia, Yap Mun Ching berkata, salah satu keutamaan pihaknya adalah untuk membantu komuniti yang terjejas untuk membina semula kehidupan merea menjadi lebih baik.

 

"Justeru, dengan sokongan para tetamu dan pelanggan, kami berharap dapat membantu membina semula kehidupan bagi mangsa terjejas apabila kita beralih daripada fasa bantuan kecemasan kepada fasa pemulihan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama BigPay, Salim Dhanani berkata, kerjasama itu akan memudahkan pengguna untuk menyumbang dana dengan selamat bagi membantu pemulihan rakyat Malaysia yang terjejas akibat banjir.

 

derma

 

"Kempen bantuan yang telah dilancarkan sebelum ini menunjukkan bahawa tidak kira sekecil manapun usaha yang dilakukan, bersama-sama kita boleh membuat perbezaan kepada mereka yang terjejas oleh bencana alam," katanya.

 

Derma melalui aplikasi BigPay kini boleh dilakukan untuk pengguna telefon Android dan penderma boleh menekan tab ‘Payments’ dan klik pada butang ‘Donations’. 

 

Peti kutipan derma pula akan digerakkan dalam penerbangan AirAsia Malaysia bermula 25 Disember ini.

 

Yayasan AirAsia menyokong pelbagai organisasi untuk memberikan bantuan kepada komuniti dalam krisis. 

 

Sejak 2013, yayasan ini telah menyumbang lebih RM14 juta untuk menyokong program pemulihan dan pemuliharaan bencana selepas Taufan Haiyan (2013), banjir di Malaysia (2014), gempa bumi di Nepal (2015) dan tsunami di Palu (2018). 

 

Pada 2019, Yayasan AirAsia dan BigPay bekerjasama untuk mengumpul RM178,000 bagi menyediakan bantuan makanan dan perubatan kepada komuniti yang kurang bernasib baik yang terjejas oleh pandemik COVID-19.

 

Bagi menjayakan inisiatif itu, Yayasan AirAsia menjemput pertubuhan yang tidak berasaskan keuntungan dengan rekod yang baik dari segi bantuan untuk memohon pembiayaan menerusi foundation@airasia.com. - DagangNews.com