Yayasan LTAT sumbang RM466,150 sebagai galakan anak warga ATM menyimpan dalam Tabung Haji | DagangNews Skip to main content

Yayasan LTAT sumbang RM466,150 sebagai galakan anak warga ATM menyimpan dalam Tabung Haji

Raja Affendi (empat dari kiri) menyerahkan replika cek kepada Rozimin pada majlis penyampaian sumbangan di Subang, Selangor.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 5 Okt - Sebanyak RM466,150 disumbangkan Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (YLTAT) kepada 9,323 anak-anak warga tentera bagi mengukuhkan amalan menabung.

 

Sumbangan itu diberikan melalui Skim Penabungan Anak-Anak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Rukun Kelima (SPARK) Siri 2.

 

Inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen YLTAT dalam aspek pembangunan kebajikan anak-anak warga ATM.

 

Sumbangan

 

YLTAT dalam kenyataan memaklumkan, setakat bulan ini penerima sumbangan bagi inisiatif SPARK Siri 2 membabitkan penerima dari negeri Selangor dan Kuala Lumpur.

 

“Inisiatif SPARK setakat ini merangkumi negeri Selangor iaitu pada Siri 1 tahun 2022 membabitkan 1,049 anak-anak warga ATM dan Siri 2 tahun 2023 membabitkan 337 orang.

 

“Bagi Kuala Lumpur pula seramai 3,234 anak-anak warga ATM terbabit dalam inisiatif SPARK Siri 1 tahun lalu manakala untuk Siri 2 pula membabitkan 750 orang

 

"Inisiatif ini akan diperluaskan kepada pelajar prasekolah pula pada pelaksanaan Siri 2,” kata kenyataan itu.

 

Sumbangan
Mohd Nizar (kiri) menyerahkan replika sumbangan buku kepada Guru Besar SK TUDM Subang, Saniah Abdul Karim bagi sekolah di dalam kem ATM.

 

Skim itu adalah hasil jaringan kerjasama strategik YLTAT bersama Lembaga Tabung Haji (TH) untuk menyediakan platform tabung jangka panjang kepada anak-anak tersebut.

 

Menerusi skim ini, sumbangan sebanyak RM50 akan diberi kepada setiap anak warga ATM darjah satu hingga tingkatan lima sebagai dana permulaan membuka akaun TH.

 

Bagi yang telah mempunyai akaun TH pula, wang sumbangan itu akan dikreditkan.

 

Sumbangan

 

Terdahulu, majlis penyerahan sumbangan tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi LTAT merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah YLTAT, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor kepada Timbalan Pengurus Besar Operasi Sokongan TH, Rozimin Ahamed Kamil. 

 

Majlis yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, Selangor itu turut dihadiri Ketua Eksekutif YLTAT, Datuk Dr. Mohd. Nizar Sudin.- DagangNews.com