Yayasan PEKEMA sumbang barangan persekolahan kepada 2,000 pelajar kurang berkemampuan | DagangNews Skip to main content

Yayasan PEKEMA sumbang barangan persekolahan kepada 2,000 pelajar kurang berkemampuan

Ahmad Faresh Ahmad Zahid (dua, kanan) dan Dawam Arshad (tiga, kiri) ketika simbolik penyerahan bantuan beg sekolah di SK Changkat Jong, Teluk Intan, Perak pada 31 Januari 2024.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 31 Jan - Seramai 2,000 pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan menerima sumbangan keperluan asas persekolahan sempena Program Kembali Ke Sekolah 2024 anjuran Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA).

 

Setiausaha Kehormat PEKEMA, Ahmad Faresh Ahmad Zahid berkata, bantuan itu adalah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya menerusi Yayasan PEKEMA tahun ini kerana persatuan itu sangat peka dan komited dalam usaha meringankan beban pelajar berkenaan.

 

"Ini antara CSR tahunan di bawah teras komuniti yang dijalankan PEKEMA bertujuan meringankan beban kos sara hidup masyarakat.

 

"Persiapan persekolahan membabitkan kos yang agak tinggi lebih-lebih lagi bagi keluarga berpendapatan rendah dalam kategori B40 dan asnaf, justeru setiap tahun PEKEMA tampil menyediakan bantuan seperti pembiayaan program sekolah, pemberian beg sekolah dan juga duit," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Pada majlis yang sama, PEKEMA turut memeterai memorandum persefahaman (MoU) dan simbolik penyerahan beg sekolah di  Dewan Transformasi Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Jong, Teluk Intan, Perak.

 

Turut hadir, Timbalan PPD Pembangunan Kemanusiaan, Mohamad Nor Ramli Ismail; Pengurus Pentadbiran dan Operasi, Faaizulaswad Mohd Salleh dan Pengurus Agihan Dana Yayasan PEKEMA, Mohd Yusof Rebu.

 

Ahmad Faresh berkata, sebanyak empat buah sekolah di daerah Hilir Perak yang terdiri dari SK Changkat Jong, SK Selabak, SK Redang Punggor dan SK Sultan Idris II menerima sumbangan beg sekolah.

 

 

pekema
Ahmad Faresh Ahmad Zahid

 

 

pekema

 

 

"Program CSR PEKEMA ini akan melibatkan Zon Tengah, Selatan, Utara, Timur, Sabah dan Sarawak, yang mana setiap zon akan diwakili Ahli Jawatankuasa PEKEMA yang berperanan menggerakkan aktiviti Yayasan PEKEMA terutama dalam bidang pendidikan," katanya.

 

Katanya, bantuan dana pendidikan juga menjadi sebahagian usaha kelestarian PEKEMA dalam menyantuni masyarakat tempatan selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) keempat iaitu Pendidikan Berkualiti.

 

Tambahnya, selain bantuan dana pendidikan, PEKEMA turut menyalurkan bantuan bagi mereka yang terlibat dengan bencana alam dan masyarakat yang memerlukan.

 

Sementara itu, Guru Besar SK Changkat Jong, Dawam Arshad pula berkata, sekolah-sekolah di Hilir Perak menyambut baik usaha murni pihak PEKEMA menyumbangkan beg sekolah kepada murid-murid sesi persekolahan baharu.

 

 

pekema

 

 

"Kawasan di kampung ini sering dilanda banjir kilat dan ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada ibu bapa untuk menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak tambahan pula dengan kekangan kewangan yang dihadapi mereka. Maka, melalui sumbangan yang diterima ini dapat membantu meringankan beban ibu bapa," katanya. - DagangNews.com