Yayasan Z Zurich biaya projek tingkatkan daya tahan komuniti tangani risiko banjir, gelombang haba di Melaka | DagangNews Skip to main content

Yayasan Z Zurich biaya projek tingkatkan daya tahan komuniti tangani risiko banjir, gelombang haba di Melaka

Kampung Morten, Melaka turut terdedah kepada bencana banjir dan pihak berkuasa kekal komited untuk terus memelihara aset warisan yang berada di tengah-tengah arus pembangunan bandar yang pesat.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 21 Nov - Dua komuniti terpilih, Kampung Morten dan Pantai Peringgit di Melaka menerima pembiayaan daripada Yayasan Z Zurich bagi pelaksanaan projek yang mampu meningkatkan daya tahan komuniti bagi menangani risiko bencana banjir dan gelombang haba. 

 

Ia susulan pengumuman daripada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) yang mengumumkan komuniti terpilih untuk program Resilience for Communities (R4C) di bawah Program Daya Tahan Iklim Bandar yayasan tersebut untuk memperkukuh daya tahan komuniti di Melaka terhadap bencana alam.

 

Melalui program R4C, pemilihan komuniti tersebut mengambil kira faktor seperti kerentanan terhadap risiko perubahan iklim, cabaran sosioekonomi yang dihadapi, komuniti aktif di kawasan tersebut dan bantuan semasa yang diterima daripada pelbagai sumber.

 

Datuk Bandar Melaka, Shadan Othman berkata, sebagai sebuah Bandaraya Warisan Dunia UNESCO, pihaknya mengiktiraf kepentingan dalam membina daya tahan komuniti untuk memelihara nilai warisan dan budaya di masa hadapan dalam menghadapi cabaran iklim. 

 

"MBMB sangat teruja untuk menyertai program, R4C ini. Saya juga berterima kasih atas kerjasama rapat dengan Zurich Malaysia, Z Zurich Foundation dan R-Cities dalam mewujudkan masa depan yang lebih berdaya tahan dan mampan untuk warga bandar raya, negeri dan negara kita," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Terdahulu, Melaka adalah antara 11 bandar di 9 buah negara yang menyertai program global itu.

 

Sementara itu, Ketua Adaptasi Perubahan Iklim Yayasan Z Zurich, David Nash pula berkata, program itu akan menggunakan kaedah Pengukur Daya Tahan Iklim Komuniti (CRMC) dalam membantu mengenal pasti dengan jelas tindakan utama yang perlu diambil dalam kalangan komuniti terpilih. 

 

 

zurich

 

 

Katanya, kaedah tersebut dibangunkan Yayasan Z Zurich dan Zurich Insurance, bersama Zurich Flood Resilience Alliance, melalui kerja-kerja daya tahan iklim untuk komuniti di seluruh dunia lebih sedekad lalu.

 

"Membina daya tahan dalam komuniti bandar bukan sahaja bergantung kepada tindakan dan inisiatif oleh pihak kerajaan, tetapi ianya memerlukan satu sistem yang bertindak secara menyeluruh yang mampu memberi impak yang baik kepada komuniti tersebut. 

 

 

zurich

 

 

"Dengan kerjasama yang dijalinkan bersama rakan pelaksana dan pihak berkuasa tempatan, kami menyasarkan untuk mengubah cara yang mana sistem boleh disesuaikan bagi membantu komuniti yang rentan dengan lebih baik," katanya.

 

Program R4C akan mengambil kira maklum balas secara menyeluruh bersama dengan penduduk Kampung Morten dan Pantai Peringgit untuk mengenal pasti keperluan khusus yang boleh membantu mereka menjadi lebih berdaya tahan. 

 

Bersama-sama dengan MBMB, komuniti akan memilih dan melaksanakan rumusan yang berpotensi untuk membantu membina kesiapsiagaan dalam kalangan komuniti dengan lebih baik dalam menghadapi bencana. - DagangNews.com