Yee Lee, TCP sasar kuasai 60% industri minuman tenaga di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Yee Lee, TCP sasar kuasai 60% industri minuman tenaga di Malaysia

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 9 Mei - Kerjasama strategik Kumpulan Yee Lee dan Kumpulan TCP menyasarkan untuk menguasai kira-kira 60% industri minuman bertenaga di Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang.



Menurut data pasaran semasa dan ramalan kategori, pendapatan dalam segmen minuman bertenaga di Malaysia dijangka mencecah RM500 juta menjelang 2027, yang mana pasaran dijangka berkembang setiap tahun kira-kira 7% pada kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) 2023 hingga 2027.



Pengarah Urusan Yee Lee, Lim Ee Young berkata, pihaknya telah mengedarkan produk Red Bull di Malaysia sejak 2015.


 
“Kerjasama strategik ini adalah evolusi dalam hubungan kami, yang mana kami kini bersatu sebagai satu pasukan demi memacu pertumbuhan jenama Red Bull lebih jauh di Malaysia dan menetapkan penanda aras baharu untuk industri perniagaan barangan pengguna yang bergerak pantas (FMCG) di dalam negara serta di seluruh rantau,” katanya.



Terdahulu, Lim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TCP, Saravoot Yoovidhya hari ini  menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang menyaksikan kedua-dua syarikat memanfaatkan kekuatan dan kepakaran gabungan mereka untuk meningkatkan perkongsian pasaran produk Red Bull, meningkatkan peluang jualan silang serta mengukuhkan kecekapan.

 
Menurut Lim, pembukaan pejabat Red Bull di Malaysia akan mengukuhkan hubungan dan penglibatan mereka dengan rakan kongsi perniagaan, pengedar kecil dan peruncit.



“Kami mahu pasaran memahami bahawa Red Bull akan kekal dan berkembang seiring dengan persepsi positif bagi kategori minuman bertenaga," tambahnya.

 

 

redbull
Lim Ee Young (kanan) dan Saravoot Yoovidhya ketika bertukar dokumen MoU antara Yee Lee dan TCP di ibu negara pada 9 Mei 2023.



Dalam pada itu, Yoovidhya pula berkata, kerjasama tersebut membawa satu tahap baharu amalan terbaik operasi dan pengurusan, keupayaan pemasaran, pengedaran bertaraf dunia serta model pengurusan perhubungan pelanggan yang tiada tandingan kepada rakan kongsi perniagaan.

 

 

redbull

 

 

Di samping itu katanya, ia membolehkan mereka memahami keperluan, tabiat dan pilihan pengguna tempatan, membawa yang terbaik dari Red Bull kepada rakyat Malaysia.


 
“Kami disatukan semangat dan rasa hormat yang telus terhadap jenama Red Bull, kedua-dua Kumpulan TCP dan Yee Lee kini bersedia untuk merevolusikan industri minuman dengan produk baharu serta pendekatan baharu sambil memainkan peranan untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Thailand,” katanya. - DagangNews.com