Yinson Greentech, ComfortDelGro Engie lancar rangkaian pengecasan kenderaan elektrik terbesar di Singapura dan Malaysia | DagangNews Skip to main content

Yinson Greentech, ComfortDelGro Engie lancar rangkaian pengecasan kenderaan elektrik terbesar di Singapura dan Malaysia

(Hadapan, dari kiri) Eirik Barclay dan Freddie Chew memeterai perjanjian kerjasama yang turus disaksikan oleh (barisan belakang, dari kiri ke kanan) Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Yinson, Lim Chern Yuan; Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kelestarian dan Alam Sekitar Singapura, Dr Amy Khor; Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, ComfortDelgro, Cheng Siak Kian.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 6 Okt - Yinson GreenTech (YGT) dan ComfortDelGro ENGIE (CDG ENGIE) melancarkan rangkaian pengecasan kenderaan elektrik terbesar di Singapura dan Malaysia yang terdiri daripada lebih 1,000 stesen.

 

Menurut satu kenyataan media hari ini, YGT mempunyai hampir 400 stesen pengecasan di Malaysia, sementara CDG ENGIE memiliki lebih 600 stesen di Singapura.

 

Dengan perkongsian ini, pengguna jalan raya boleh menemui, mengaktifkan dan membuat pembayaran dengan lancar untuk penggunaan stesen pengecasan, sama ada melalui aplikasi chargEV atau CDG ENGIE EV Charging.

 

“Menjelang 2030, rangkaian gabungan itu dijangka meningkat kepada antara 5,000 dan 8,000 stesen pengecasan di Singapura dan 3,000 di Malaysia, mengukuhkan kedudukannya sebagai gabungan rangkaian pengecasan EV terbesar di seluruh Singapura dan Malaysia,” katanya.

 

Kerjasama tersebut memudahkan pemandu EV dalam perjalanan rentas sempadan kerana mereka boleh menggunakan aplikasi sedia ada untuk mengakses rangkaian luas stesen pengecasan di Singapura, Malaysia, yang berpotensi untuk lebih jauh, serta pembayaran dalam mata wang tempatan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif YGT, Eirik Barclay, berkata kerjasama itu  menangani halangan pertumbuhan utama,  yang merangkumi pelbagai kebimbangan.

 

“Ia merapatkan kebolehkendalian rentas sempadan, memberikan infrastruktur pengecasan yang boleh diakses dan pengalaman e-perayauan ‘caj di mana-mana’ terbaik kepada pemandu EV yang melakukan perjalanan antara Singapura dan Malaysia,” ujar beliau.

 

Sementara itu, Pengurus Besar CDG ENGIE, Freddie Chew berkata kerjasama dengan YGT memperluaskan perniagaan melangkaui Singapura, menyokong komitmen syarikat untuk mengetengahkan tenaga hijau dan mobiliti mampan.

 

“Kami bukan sahaja berkembang secara tempatan, kami juga teruja untuk memperluaskan jangkauan merentasi sempadan negara dalam komitmen kami untuk mempromosi tenaga hijau dan mobiliti mampan.

 

“Kami percaya rangkaian yang diperluas ini akan mempercepatkan peralihan kepada EV dan menyumbang kepada cita-cita sifar bersih kedua-dua negara,” katanya.  - DagangNews.com