Yinson GreenTech, GoCar tawar akses EV mampu milik Ora Good Cat kepada pengguna | DagangNews Skip to main content

Yinson GreenTech, GoCar tawar akses EV mampu milik Ora Good Cat kepada pengguna

Wong Hoe Mun (kiri) dan Kelvin Soon bergambar bersama EV Ora Good Cat.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 23 Feb - GoCar Malaysia dan Yinson GreenTech bekerjasama untuk menawarkan kenderaan elektrik (EV) Ora Good Cat melalui program GoCar Share. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif GoCar Malaysia, Wong Hoe Mun berkata, pihaknya sangat teruja untuk mengukuhkan kerjasama dengan Yinson GreenTech. 

 

"GoCar sentiasa mengutamakan aspek mobiliti lebih pintar dan mapan. Kami juga berbesar hati kerana mampu menawarkan model-model kenderaan elektrik yang menarik kerana kami yakin ramai orang awam ingin mencubanya," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Pengarah Urusan drivEV, Kelvin Soon pula berkata, matlamat drivEV adalah untuk menggalakkan syarikat-syarikat untuk mempromosikan penggunaan EV dalam kalangan rakyat Malaysia. 

 

Katanya, kerjasama dengan GoCar dalam memperkenalkan Ora Good Cat merupakan satu permulaan ke arah matlamat yang betul. 

 

"Kami merancang untuk menambah lebih banyak rangkaian model EV dan mengembangkan perkhidmatan ini ke lokasi-lokasi lain supaya orang ramai lebih mudah mengaksesnya," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Menurut kenyataan itu, usaha sama itu hadir menerusi satu kerjasama di antara GoCar dan bahagian perniagaan pajakan YGT EV, drivEV.

 

"Usaha sama ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kedua-dua buah syarikat untuk meluaskan akses terhadap pengalaman memandu EV, selain mempromosikan peralihan kepada EV di dalam negara. 

 

Sebagai permulaan katanya, EV Ora Good Cat boleh didapati untuk tempahan GoCar Share Round Trip di lokasi-lokasi terpilih di Lembah Klang seperti Berjaya Times Square, The Linc, Lalaport KL, Eco Ardence, Eco Grandeur dan GoCar Malaysia PJ.

 

Katanya, pengguna GoCar boleh merasai pengalaman memandu Ora Good Cat pada harga mampu milik iaitu RM23.90 sejam dengan akses percuma ke atas semua pengecas AC dalam rangkaian YGT. 

 

"Bukan itu sahaja, lebih lama tempoh tempahan pengguna, lebih banyak penjimatan boleh mereka nikmati," katanya.

 

Tambahnya, pengenalan Ora Good Cat melalui GoCar hanyalah permulaan kerjasama di antara GoCar dan drivEV yang merancang untuk memperkenalkan model-model lebih menarik serta meluaskan perkhidmatannya melangkaui kawasan Lembah Klang. - DagangNews.com