Yinson Production raih AS$500 juta pinjaman korporat lima tahun sokong operasi FPSO | DagangNews Skip to main content

Yinson Production raih AS$500 juta pinjaman korporat lima tahun sokong operasi FPSO

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 12 Dis - Yinson Production Offshore Pte Ltd peroleh kemudahan pinjaman korporat lima tahun bernilai sehingga AS$500 juta (RM2.34 bilion), termasuk akordion.

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, anak syarikat Yinson Holdings Berhad di Singapura itu berkata hasil daripada jumlah tersebut akan digunakan untuk membiayai semula hutang sedia ada tertentu dan tujuan am korporat.

 

“Sebahagian daripada kemudahan ini dikhususkan untuk inisiatif hijau bagi menyokong usaha berterusan Yinson Production dalam menginovasi dan memperkenalkan teknologi termaju dalam mengurangkan pelepasan dan menjadi pendahulu dalam menyahkarbonkan industri unit terapung, pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO) ke arah matlamat sifar bersih,” katanya.

 

Menurut syarikat tersebut, kemudahan itu adalah yang pertama seumpamanya dijana oleh Yinson Production dan menyokong keyakinan bank terhadap syarikat sebagai pemilik dan pengendali bebas FPSO di seluruh dunia serta asas dan daya tarikan industri FPSO yang teguh dalam ruang infrastruktur tenaga global.

 

Natixis, Cawangan Singapura bertindak sebagai penyelaras, penyusun utama bermandat dan penaja jamin (MLAB). Affin Bank Berhad, AmInvestment Bank Berhad, CIMB Islamic Bank Berhad, ING Bank N.V., Cawangan Singapura, dan United Overseas Bank Limited juga bertindak sebagai MLAB. Proses pensindiketan umum dijangka dilancarkan pada Januari 2024.

 

Mengulas mengenai kejayaan memperoleh fasiliti itu, Ketua Pegawai Kewangan Yinson Production, Markus Wenker berkata kemudahan tersebut adalah pinjaman korporat pertama yang dikumpul oleh syarikat terbabit.

 

 

Markus Wenker
Markus Wenker

 

 

“Ini adalah berikutan penyusunan semula dan desentralisasi Kumpulan Yinson awal tahun ini dan mempamerkan keupayaan kami untuk menarik pembiayaan berserta keseluruhan struktur modal, menggunakan kunci kira-kira Yinson Production.

 

“Pinjaman korporat ini akan membantu kami membuka kunci pertumbuhan selanjutnya dalam persekitaran pasaran FPSO yang menarik dan mencipta nilai untuk pemegang saham kami,” katanya.  - DagangNews.com