Yoodo umum tajaan e-sukan baharunya, Yoodo Alliance | DagangNews Skip to main content

Yoodo umum tajaan e-sukan baharunya, Yoodo Alliance

KUALA LUMPUR 5 Ogos –  Yoodo, perkhidmatan mudah alih digital sepenuhnya dan boleh diubah suai yang pertama di Malaysia, mengumumkan usaha sama strategik bersama Alliance, sebuah organisasi e-sukan ternama yang berpangkalan di Sweden, bagi memperkenalkan pasukan PUBG Mobile terbaharu mereka: Yoodo Alliance.

 

Ketua Yoodo, Chow Tuck Mun berkata, pihaknya amat teruja untuk berkongsi fasa seterusnya perjalanan Yoodo dalam e-sukan dan permainan video dengan pengumuman Yoodo Alliance.

 

Menurutnya, sepanjang evolusi Yoodo dalam arena e-sukan, pihaknya sentiasa menumpukan usaha memperkasakan para pemain muda di seluruh Malaysia. Kini, dengan penubuhan Yoodo Alliance, Yoodo berbangga untuk mengetengahkan generasi baharu bagi jaguh handalan PUBG Mobile.

 

Katanya, ini adalah kali pertama bagi Alliance memasuki pasaran e-sukan Malaysia, satu bukti bahawa arena e-sukan di Malaysia telah berkembang pesat untuk menarik perhatian pihak antarabangsa.

 

“Yoodo amat berbangga untuk bekerjasama dengan organisasi terkenal dan ternama di peringkat antrabangsa seperti Alliance. Kami menyasarkan untuk lebih memperkuat dan mendorong bakat tempatan untuk mengharumkan nama Malaysia dalam arena e-sukan di peringkat dunia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Alliance mempunyai latar belakang yang kukuh dalam e-sukan sejak tahun 2013, dengan lebih 4 juta peminat di seluruh dunia yang sentiasa menyokong organisasi tersebut yang telah melahirkan, antaranya pasukan juara dunia bagi kejohanan Dota 2, mempunyai pemainnya Armada (Adam Lindgren) yang menjadi pemain ke-10 dalam sejarah dimasukkan ke dalam Esports Hall of Fame, serta menjadi pasukan 5 teratas di peringkat global bagi Dota 2, PUBG Mobile, Apex Legends dan Wild Rift.

 

 

yoodo
Chow Tuck Mun (barisan ketiga, kiri) bersama Jonathan Berg (dua dari kiri) dan anggota pasukan Yoodo Alliance pada majlis pengumuman penajaan pasukane-sukan tersebut secara maya di Kuala Lumpur, hari ini.

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Alliance, Jonathan Berg berkata, pihaknya berbangga untuk bekerjasama dengan telco paling dominan dalam industri e-sukan di Malaysia.

 

“Seperti rakan kongsi kami, kami juga komited dalam mengembangkan bakat dalam Yoodo Alliance. Dikukuhkan dengan pengalaman kami yang luas dalam esukan, Alliance fokus untuk menghasilkan pemenang serta meningkatkan lagi perjalanan mereka dalam arena e-sukan,” katanya.

 

Masih segar dengan kemenangan di PUBG Mobile National Championship (PMNC) 2021, pasukan yang dinamik ini terdiri daripada: Muhammad Zalmi Hakim Azhar (dengan nama dalam game, atau In-Game-Name, IGN: KIMZ); Muhammad Haikal Adam Razak (IGN: LEX); Muhammad Fahmi Farizal (IGN: PAMI); Mohd Hafizuddin Suaini (IGN: DINX); dan Muhammad Afiq Haikal Amiludin (IGN: TEMAH).  

 

Pasukan ini akan diuruskan oleh Alliance apabila mereka menyertai pelbagai perlawanan PUBG Mobile yang mendatang.

 

Bersama-sama, ahli pasukan ini telah bersedia untuk berjuang di `medan pertempuran’ di bawah panji Yoodo Alliance buat pertama kalinya di PUBG Mobile Pro League (PMPL) MYSG Musim Ke-4, yang akan bermula pada 24 Ogos ini. – DagangNews.com