YTL Cement beri geran penyelidikan RM1 juta kepada CREAM bagi menerajui pembinaan lestari | DagangNews Skip to main content

YTL Cement beri geran penyelidikan RM1 juta kepada CREAM bagi menerajui pembinaan lestari

Datuk Seri Michael Yeoh (tiga dari kiri) dan Mohd Zaid Zakaria (empat dari kanan) juga adalah Pengerusi Jawatankuasa Pengemudi MoU yang telah dimeterai YTL Cement dan CREAM pada April lalu
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 17 Okt - YTL Cement memberi geran penyelidikan RM1 juta kepada Institut Penyelidikan Pembinaan Malaysia (CREAM) bagi mengukuhkan komitmennya untuk memperjuangkan amalan pembinaan lestari.

 

Rangsangan kewangan ini adalah susulan kepada memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua organisasi pada April tahun ini, mengukuhkan misi bersama mereka untuk mencapai kecemerlangan pembinaan dan sokongan peralihan industri kepada pembinaan mampan.

 

CREAM merupakan anak syarikat Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) yang diperbadankan pada 2004 untuk memenuhi keperluan strategik penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam industri pembinaan Malaysia.

 

“Geran penyelidikan RM1 juta ini mencerminkan dedikasi teguh kami untuk menyokong usaha CREAM dalam menggalakkan pertumbuhan industri dengan kakitangan terlatih, memperjuangkan penyelidikan dan pembangunan, serta memajukan amalan pembinaan mampan,” kata Pengarah Urusan YTL Cement, Datuk Seri Michael Yeoh dalam kenyataan media hari ini.

 

Sementara itu, Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Mohd Zaid Zakaria mengakui kesukaran memperjuangkan industri pembinaan yang bertanggungjawab dari segi sosial dan alam sekitar di Malaysia.

 

“Kerjasama dengan pihak berkepentingan industri dan pemain utama adalah penting dalam menjadikan peralihan mampan kami satu realiti. Kerjasama antara YTL Cement dan CREAM mewakili satu langkah penting ke arah membentuk semula industri pembinaan kerana usaha mereka adalah penting untuk mempercepatkan perubahan dalam kalangan pemain industri pembinaan,” katanya.

 

Menurut kenyataan tersebut, geran penyelidikan RM1 juta akan disalurkan untuk memulakan tiga inisiatif utama yang terdiri daripada pembangunan pekerja pembinaan berkemahiran, R&D bahan dan kaedah pembinaan rendah karbon dan sokongan peralihan kepada pembinaan lestari.

 

Ketua Pegawai Eksekutif CREAM, M. Ramuseren menekankan cita-cita untuk menjadi institut penyelidikan dan pembangunan yang diiktiraf di peringkat global yang memacu kualiti, inovasi, teknologi dan kemahiran ke arah mencapai kemampanan dalam industri pembinaan.

 

“Dalam merealisasikan ini, geran penyelidikan YTL Cement telah memainkan peranan penting dalam memperkasakan lagi keupayaan penyelidikan dan usaha kami untuk memenuhi permintaan industri pembinaan Malaysia yang semakin berkembang,” katanya.  - DagangNews.com