Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 21 Sept. - Langkah pelupusan semua kepentingan di dalam 10 anak syarikat YTL Cement Berhad (YTL) kepada Malayan Cement Berhad (MCement) telah berjaya dilengkapkan hari ini.
Perkara itu dimaklumkan RHB Investment Bank yang mewakili syarikat induk YTL, YTL Corporation Berhad kepada Bursa Malaysia, selepas jumlah pelupusan sebanyak RM5.16 juta telah dilunaskan oleh MCement.
“Sebanyak RM2,000 tunai telah dilunaskan setelah mengambil kira Jumlah Pelarasan Pertama;
“RM1,408 juta (dilunaskan) menerusi penerbitan 375,506,174 saham MCement baharu pada harga terbitan RM3.75 setiap saham pertimbangan, di mana akan disenaraikan di Papan Utama Bursa Securities pada 22 September 2021; dan
“RM1,750 (diselesaikan) menerusi penerbitan 466,666,667 ICPS baharu pada harga terbitan RM3.75 sesaham,” jelas firma itu.
MCement menerusi maklumannya di Bursa Malaysia pada 12 Mei lalu memberitahu, bahawa ia dan YTL yang merupakan syarikat induknya, telah menandatangani perjanjian jual beli saham bersyarat bagi mengambil alih kepentingan ekuiti dalam perniagaan simen kumpulan, pada kadar RM5.16 bilion.
DagangNews.com sebelum ini melaporkan, langkah MCement untuk mengambil alih kepentingan itu berpotensi melonjakkan hasil syarikat sehingga tiga kali ganda menjelang tahun kewangan 2022 (FY22).
Baca : Beli perniagaan simen YTL berpotensi lonjak hasil MCement 3 kali ganda
Ramalan itu dibuat oleh penganalisis di CGS-CIMB Research, Sharizan Rosely yang menjangkakan hasil MCement akan melonjak daripada RM1.5 bilion kepada RM4.5 bilion, berdasarkan sasaran pendapatan enam bulan pertama FY21 (6MFY21) syarikat sebanyak RM2.9 bilion. - DagangNews.com