YX Precious Metal rekod untung bersih RM3.04 juta pada 1QFY22 | DagangNews Skip to main content

YX Precious Metal rekod untung bersih RM3.04 juta pada 1QFY22

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Jun - YX Precious Metals Berhad merekodkan untung bersih RM3.04 juta untuk suku tahun pertama berakhir 31 Mac 2022 (1QFY22). 

 

Kumpulan itu berkata, kejayaan itu dicapai menerusi pendapatan RM60.73 juta dengan segmen borong menyumbang 92.39% menerusi jualan 216,729 gram perhiasan emas.

 

Katanya, baki 7.61% disumbangkan daripada segmen reka bentuk dan pembuatan 

 

YX Precious Metals dijangka disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad pada 23 Jun 2022.

 

Berdasarkan harga tawaran awam permulaan (IPO) RM0.28 dan modal saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 372.15 juta saham semasa penyenaraian, permodalan pasaran kumpulan dijangka mencapai RM104.20 juta.

 

Pengarah Urusannya, Ng Sheau Chyn berkata, keputusan cemerlang 1QFY22 adalah permulaan yang baik untuk permulaan tahun dan kumpulan itu masih belum berpuas hati dengan kejayaan itu sebalikya mahu meneruskan momentum cemerlang itu ke tahap lebih tinggi.

 

"Penyenaraian IPO itu akan membolehkan kami memanfaatkan peningkatan permintaan bagi barang kemas emas dengan mengembangkan portfolio produk kami untuk memasukkan rangkaian baharu barang kemas ke pasaran.

 

"Kami juga optimis dengan prospek syarikat kerana keadaan ekonomi keseluruhan dijangka pulih dengan negara sedang beralih ke fasa endemik," katanya. - DagangNews.com