Zahid Hamidi, Najib masih layak dilantik sebagai Perdana Menteri, kata peguam | DagangNews Skip to main content

Zahid Hamidi, Najib masih layak dilantik sebagai Perdana Menteri, kata peguam

SHAH ALAM 9 Ogos – Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Bagan Datuk, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid masih memiliki kelayakan untuk dilantik sebagai perdana menteri, meskipun kes rasuah mereka masih dibicarkan di mahkamah.

 

Peguam, A Srimurugan berkata, malah ia terserah kepada masing-masing untuk menerima atau tidak jawatan tersebut, seandainya menerima sokongan sekurang-kurangnya 111 Ahli Parlimen.

 

Menurut beliau, Najib masih merupakan anggota Dewan Rakyat meskipun telah didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi tahun lalu atas pertuduhan rasuah melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

 

Najib telah dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan didenda RM210 juta atas tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang.

 

“Mengikut Fasal 48(4)(b) Perlembagaan Persekutuan jelas menunjukkan bahawa Najib boleh kekal sebagai Ahli Parlimen sehingga habis sudah proses rayuannya di Mahkamah Persekutuan,” ujar beliau, seperti dilapor FMT.

 

Srimurugan berkata, Fasal 48(1)(e) Perlembagaan juga menyatakan bahawa wakil rakyat yang dipilih dikira termansuh kedudukannya jika didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara dua tahun atau lebih dan/ atau didenda RM2,000 dan lebih, dan belum menerima pengampunan.

 

Mahkamah Rayun pada April lalu, mendengar pembentangan daripada peguam Najib dan juga pendakwa raya. Keputusan penghakiman belum diumumkan.

 

Seorang lagi peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali, bagaimanapun, tidak yakin Najib tidak akan kembali menjadi perdana menteri setelah didapati bersalah dan kini bebas atas ikat jamin.

 

Sebaliknya ujar beliau, Zahid pula layak kerana kedudukannya kini masih berjalan dan sekadar berstatus `orang kena tuduh’.

 

“Mengikut undang-undang, beliau masih tidak bersalah selagi dibuktikan sebaliknya,” kata beliau.

 

Zahid, yang merupakan presiden UMNO, berdepan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan kes rasuah dan 27 penggubahan wang bernilai RM117 juta milik Yayasan Akalbudi.

 

Mahkamah Tinggi menetapkan 24 Ogos ini, untuk para peguam Zahid mengemukakan hujah lisan selepas tamat kes pertuduhan pada Mac lalu.

 

Semalam, peguam Bastian Pius Vendargon berkata, mana-mana ahli parlimen daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) boleh dilantik sebagai perdana menteri menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin, dengan syarat individu itu memiliki undi percaya di the Dewan Rakyat.

 

Secara alternatifnya, ujar beliau, calon dari parti pembangkang yang kini terdiri daripada dua pihak juga boleh dilantik sebagai perdana menteri jika individu itu memiliki kelebihan undi.

 

Vendargon berkata, kemudian Yang di-Pertuan Agong boleh melantik calon tersebut sebagai perdana menteri jika usul percaya itu berjaya.

 

Satu lagi kaedah untuk pelantikan perdana menteri ialah Agong menggunakan `kaedah luar biasa’ seperti yang berlaku semasa krisis kerajaan Perak.

 

Ia merangkumi Agong mewawancara Ahli Parlimen dan menerima Akuan Bersumpah (SD) bagi Baginda membuat ketetapan.

 

Contoh terbaharu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Lamag di Sabah, Datuk Bung Moktar Radin dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah selepas pilihan raya negeri ke-16 tahun lalu, walaupun perbicaraan kes rasuahnya masih berjalan. – DagangNews.com