Zhejiang Sinopont Technology Co Ltd suntik pelaburan RM2 bilion ke Perak buka kilang filem panel solar pertama di luar China | DagangNews Skip to main content

Zhejiang Sinopont Technology Co Ltd suntik pelaburan RM2 bilion ke Perak buka kilang filem panel solar pertama di luar China

Kilang Sinopont yang terletak di Taman Perindustrian Tasek, Ipoh.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 1 Mac - Zhejiang Sinopont Technology Co Ltd, pengeluar filem panel solar yang berpangkalan di China, kini mempunyai kemudahan kilang pembuatan sulungnya di luar China di Ipoh melalui anak syarikatnya, Sinopont Everthriving (Malaysia) Sdn. Bhd.

 

Kemudahan pembuatan baharu membabitkan pelaburan RM2 bilion itu terletak di Taman Perindustrian Tasek di sini yang akan mula beroperasi serta-merta.

 

Ia menghasilkan filem enkapsulan sel solar dengan kapasiti pengeluaran awal 85 juta meter persegi, mencukupi untuk menampung permintaan kira-kira 10 gigawatt (GW).

 

Pelaburan Sinopont di Perak akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dengan unjuran untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran kepada 300 juta meter persegi enkapsulan meliputi anggaran permintaan sebanyak 30 GW.

 

Solar
Saarani (tengah) bersama Pengarah Zhejiang Sinopont Technology Co Ltd, Cao Xiang Lai (dua dari kiri), Exco Pelancongan, Industri dan Pembangunan Koridor negeri Perak, Loh Sze Yee (dua dari kanan) dan Pegawai Kewangan Negeri Perak, Dato' Mohd Zaki Mahyudin semasa hadir pada perasmian kilang Sinopont di Ipoh.
 

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerjasama Perak dan Sinopont itu termasuk pembesaran yang berpotensi dan penubuhan ekosistem industri solar yang komprehensif di Perak.

 

Beliau juga memuji keputusan Sinopont untuk melabur di negeri itu yang mana ia akan memacu persekitaran perniagaan Perak dan pertumbuhan ekonomi negeri.

 

“Daya tarikan Perak kepada pelabur tempatan dan asing semakin meningkat, disebabkan oleh infrastruktur yang dipertingkat, tenaga kerja mahir dan sokongan kerajaan. 

 

“Perkembangan ini sejajar dengan agenda ‘Pelan Perak Sejahtera 2030’ yang mengutamakan inisiatif yang bertujuan untuk menarik pelaburan,” ujarnya semasa berucap merasmikan pembukaan kilang tersebut.

 

Hadir sama Pengarah Zhejiang Sinopont Technology Co Ltd, Cao XiangLai; Exco Pelancongan, Industri dan Pembangunan Koridor negeri Perak, Loh Sze Yee dan Pegawai Kewangan Negeri Perak, Dato’ Mohd Zaki Mahyudin.

 

Pekerja

 

Pekerja
Sebahagian daripada pekerja Sinopont semasa mengikuti latihan pendek di China sebagai persediaan pembukaan kilang di Ipoh.

 

Katanya lagi, menyedari kepentingan strategik Perak, InvestPerak akan mempercepatkan kelulusan bagi projek strategik dengan mengeluarkan sokongan segera untuk memastikan kelancaran projek.

 

“Pelaburan Sinopont dijangka menjana kira-kira 300 peluang pekerjaan untuk rakyat Perak apabila kemudahan itu mencapai kapasiti operasi penuh. 

 

“Selain itu, ia akan memperkukuh ekosistem pembuatan panel solar di Malaysia, khususnya di Wilayah Utara, memupuk pertumbuhan dan pembangunan ekonomi selanjutnya,” jelas Saarani.

 

Pada Oktober tahun lalu, Perak menerima pelaburan baharu bernilai RM2 bilion menerusi projek menghasilkan enkapsulasi filem dengan Zhejiang Sinopont Technology Co Ltd.

 

Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dilakukan antara syarikat berkenaan dengan InvestPerak semasa kunjungan Saarani ke Ibu Pejabat Zhejiang Sinopont Technology Co Ltd di Hangzhou, China.

 

Susulan kerjasama tersebut, Sinopont Everthriving (Malaysia) Sdn Bhd telah menghantar dua kumpulan pekerja seramai kira-kira 20 orang anak-anak Perak mengikuti latihan pendek ke China sebagai persediaan pembukaan kilang di Ipoh. - DagangNews.com