Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura beri manfaat jangka panjang kepada ekonomi Malaysia - AMRO | DagangNews Skip to main content

Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura beri manfaat jangka panjang kepada ekonomi Malaysia - AMRO

JS-SEZ dijangka memberi manfaat jangka panjang kepada Malaysia terutama dalam mewujudkan peluang meningkatkan aktivit tenaga kerja dan aliran pelaburan rentas sempadan antara kedua-dua ekonomi.

KUALA LUMPUR 18 Jan - Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) akan memberi manfaat jangka panjang kepada Malaysia menerusi peningkatan aktiviti tenaga kerja serta aliran pelaburan rentas sempadan.

 

Singapura, yang menghadapi kekurangan tenaga kerja, sangat bergantung kepada pekerja asing dan dengan modal yang mencukupi, negara itu dijangka menyalurkan pelaburan ke Johor, memberi manfaat kepada kedua-dua negara bagi  jangka masa panjang.

Ketua Ahli Ekonomi Pejabat Penyelidikan Makroekonomi Asean+3 (AMRO) Hoe Ee Khor berkata, Singapura merupakan ekonomi dengan sumber tenaga terhad dan sangat bergantung kepada pekerja asing dan Malaysia adalah sumber utama bagi pekerja asing di negara itu.

 

“Singapura juga mempunyai banyak modal dan Malaysia akan mendapat manfaat daripada aliran pelaburan dari negara itu ke Johor.

 

“Oleh itu, ia akan menjadi rangsangan jangka panjang bagi ekonomi kedua-dua negara," katanya semasa taklimat secara maya mengenai kemas Tinjauan Ekonomi Serantau Asean+3 (AREO), hari ini, lapor Bernama.

 

Pada 11 Januari lalu, Malaysia dan Singapura menandatangani memorandum persefahaman untuk menjayakan JS-SEZ dalam mengukuhkan hubungan ekonomi antara Johor dan Singapura.

 

JS-SEZ dijangka meningkatkan lagi perdagangan antara Johor dan Singapura selain boleh berkembang maju seperti bandar raya Shenzhen di China yang menjadi bukti kejayaan sebagai sebuah zon ekonomi khas.

 

Antara sektor yang disasarkan zon itu ialah elektronik, perkhidmatan kewangan, perkhidmatan berkaitan perniagaan dan penjagaan kesihatan.

 

Pada tahun lepas, Johor meraih pelaburan asing bernilai RM70.6 bilion dalam pelbagai sektor.

 

Singapura merupakan pelabur asing kedua terbesar di negeri itu, menyumbang kira-kira 70% daripada jumlah pelaburan langsung asing Johor dalam sektor pembuatan. - DagangNews.com