Zoo Taiping & Night Safari catat kunjungan lebih setengah juta pelawat  | DagangNews Skip to main content

Zoo Taiping & Night Safari catat kunjungan lebih setengah juta pelawat 

Pengunjung melihat lebih dekat badak air yang terdapat di Zoo Taiping & Night Safari. - Gambar MPT
oleh ZAKI SALLEH

TAIPING 4 Sept - Peralihan fasa endemik memberi petanda positif pada kehadiran pengunjung ke Zoo Taiping & Night Safari di sini apabila menerima seramai 558,949 pelawat setakat tahun ini.

 

Jumlah tersebut berganda berbanding dua tahun sebelumnya apabila mencatat kehadiran 464,391 pengunjung pada 2021 dan 361,696 (2020).

 

Sehubungan itu, pihak pengurusan zoo yakin angka tersebut akan meningkat sehingga hujung tahun ini khususnya semasa musim cuti persekolahan.

 

Zoo Taiping merupakan zoo awam pertama di Malaysia yang dibuka pada tahun 1964 dan diuruskan oleh pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Perbandaran Taiping (MPT).

 

Kadar tiket masuk adalah RM16 untuk dewasa dan RM8 kanak-kanak manakala RM20 (dewasa) dan RM10 (kanak-kanak) bagi Night Safari.

 

Yang Dipertua MPT, Khairul Amir Mohamad Zubir berkata, daripada jumlah kehadiran pengunjung tahun ini, seramai 63,768 pelawat hadir pada sesi kunjungan malam iaitu Night Safari.


 

Khairul Amir Mohamad Zubir
                           Khairul Amir Mohamad Zubir

 


Menurut beliau, angka pelawat yang direkod melebihi setengah juta sehingga pada Ogos ini itu adalah sesuatu yang sangat baik sekali gus menunjukkan zoo masih lokasi untuk dikunjungi.

 

"Menjadi matlamat kita untuk meningkatkan kehadiran pengunjung dan pelancong dari dalam dan luar negara. 

 

"Ini akan dilaksanakan dengan mempelbagaikan lagi program sedia ada," ujarnya semasa berucap pada Majlis Perasmian ZOORAMA 2022 dan Sambutan Hari Perbandaran Yang ke-43 MPT semalam.


 

zoo taiping

 

zoo taiping
Pakej Pendidikan Zoo Taiping & Night Safari dapat menarik lebih banyak sekolah untuk menjadikan zoo sebagai tempat pembelajaran.

 


ZOORAMA merupakan acara tahunan yang dianjurkan MPT saban tahun, cuma kelainan kali ini ia dianjurkan bersama sambutan Hari Perbandaran MPT.

 

Jelas Khairul Amir, pihaknya turut menambah baik Pakej Pendidikan Zoo Taiping & Night Safari dan berharap ia dapat menarik lebih banyak sekolah untuk menjadikan zoo sebagai tempat pembelajaran.

 

"Terdapat tujuh pakej ditawarkan antaranya Edu Fun, Edu Fun & Learn 1, Edu Fun & Learn 2,  X-Plorace Zoo, Pakej Khidmat Masyarakat Khas dan Pakej Lawatan Renjer Zoo.

 

"Kita mahu menggalakkan dan untuk para pelajar rmengambil peluang menghayati serta mempelajari khazanah alam yang tidak ternilai," katanya. - DagangNews.com