Zu Syaiezaty disekat sebagai perunding unit amanah saham oleh FIMM | DagangNews Skip to main content

Zu Syaiezaty disekat sebagai perunding unit amanah saham oleh FIMM

Gambar hiasan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 9 April - Persekutuan Pengurus-pengurus Pelaburan Malaysia (FIMM) membuat teguran terbuka atau awam terhadap bekas perunding skim unit amanah saham di Principal Asset Management Berhad, Zu Syaiezaty Mohamad baru-baru ini. 

 

Langkah itu diambil selepas Zu Syaiezaty didapati melanggar Kod Etika dan Peraturan Tingkah Laku (Dana Amanah Saham), Edisi Kedua FIMM (Kod FIMM) bertarikh 22 Januari 2013. 

 

“Zu didapati melanggar Klausa 3.1.3(a) Kod FIMM kerana tidak bertindak demi kepentingan terbaik pelabur dengan melakukan transaksi di akaun Principal amanah saham pelabur seperti penebusan, pertukaran dan pembelian unit skim amanah menggunakan hasil pelaburan yang sama dari pelabur ke dalam satu atau lebih dana unit amanah Principal untuk tujuan menjana komisen, dan dengan itu menyebabkan kerugian kewangan yang besar kepada pelabur,” kata FIMM dalam sebuah kenyataan hari ini.

 

Kata FIMM, klausa berkenaan memperuntukkan perunding unit amanah saham untuk bertindak dengan kejujuran, bermaruah dan integriti pada setiap masa. 

 

Sehubungan itu, Zu Syaiezaty disekat daripada sebarang pendaftaran pada masa akan datang dengan FIMM, berkuatkuasa 27 November 2020. 

 

“Teguran terbuka ini dikuatkuasakan untuk memberi mesej jelas bahawa FIMM akan mengambil tindakan ke atas mereka yang gagal mematuhi sebarang peraturan dikeluarkan oleh FIMM. 

 

“Ini bertujuan mengelakkan perunding unit amanah saham dan skim persaraan swasta (PRS) daripada melakukan sebarang kesalahan dan bagi mengingatkan mereka bahawa amat penting untuk meneliti peraturan FIMM ketika memasarkan dan mengedarkan skim unit amanah saham atau PRS di Malaysia bagi melindungi kepentingan pelaburan oleh orang awam,” tambah FIMM. - DagangNews.com