Zurich lancar pelan Takaful ProSecure bantu rakyat Malaysia capai daya tahan kewangan | DagangNews Skip to main content

Zurich lancar pelan Takaful ProSecure bantu rakyat Malaysia capai daya tahan kewangan

(Dari kiri) Nazrul Namizan Ahmad, Pengerusi dan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Zurich General Takaful Malaysia, Hasnah Omar, Nur Fatihah Mustafa dan Ketua Pegawai Pemasaran Zurich Life Insurance, Thai Mei Lih ketika pelancaran Takaful ProSecure.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 17 Nov - Zurich Takaful Malaysia Bhd melancarkan Takaful ProSecure, sebuah pelan takaful inovatif yang direka untuk membantu rakyat Malaysia mencapai daya tahan dan kebebasan kewangan. 

 

Pelan itu direka dengan teliti bagi meringankan beban pengguna pada saat memerlukan, dan bertujuan memberikan bantuan kewangan berterusan apabila timbulnya keadaan tidak diduga dalam kehidupan. 

 

Wakil Sah daripada Zurich Takaful, Nur Fatihah Mustafa berkata, pihaknya komited untuk membantu individu dan keluarga dalam melindungi masa depan kewangan mereka. 

 

"Sebagai rakan kongsi yang dipercayai bagi semua rakyat Malaysia, pelancaran Takaful ProSecure merupakan satu lagi langkah ke arah mewujudkan masa depan yang lebih cerah.

 

"Ia juga memberikan ketenangan fikiran dan perlindungan kewangan bagi mengharungi keadaan tidak menentu, selaras dengan kempen jenama kami, ‘Lindungi Segala Perkara Yang Bermakna’," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Takaful ProSecure menawarkan perlindungan bermula daripada jumlah perlindungan asas sebanyak RM300,000 yang dapat membantu individu yang mempunyai hutang tinggi. 

 

Perlindungan bernilai tinggi itu bertujuan memberi ketenangan fikiran dengan mengurangkan hutang terkumpul untuk orang yang tersayang sekiranya mereka tiada lagi di dunia ini.

 

Selain itu, ia merangkumi manfaat Penyakit Terminal atau Kanser Terminal (PTKT), yang mana bayaran pendahuluan akan dibuat selepas seseorang disahkan menghidap PTKT. 

 

Ciri tersebut direka bagi membantu pelanggan menguruskan hari-hari terakhir dalam kehidupan mereka dengan bantuan kewangan, bagi meringankan beban mereka tatkala mengharungi tempoh sukar.

 

Takaful ProSecure juga menawarkan manfaat penjagaan vital, yang mengecualikan caruman untuk individu yang perlu menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), dan bertujuan membebaskan pelanggan daripada beban kewangan dalam tempoh sukar supaya mereka mampu menumpukan perhatian pada pemulihan.

 

Sebagai sebahagian daripada pelancaran Takaful ProSecure, Zurich akan melancarkan ‘We Can Duit Bersama Zurich Takaful’ pada 17 hingga 19 November ini di MyTOWN Shopping Gallery. 

 

Acara itu merangkumi permainan, penglibatan aktiviti, serta dilengkapi dengan sesi perundingan dan kiosk pameran produk yang diterajui oleh pasukan perancang kewangan Zurich yang profesional. 

 

Ia dihoskan personaliti popular, Daphne Iking dan dirasmikan dengan perbincangan panel bersama Nur Fatihah Mustafa dan Ketua Pegawai Agensi Zurich Takaful, Nazrul Namizan Ahmad. - DagangNews.com