KUALA LUMPUR 20 Mac – Zurich Malaysia telah menyalurkan RM432,493 untuk membantu 150 keluarga di Hulu Langat membina daya tahan banjir, menerusi MERCY Malaysia yang menguruskan usaha-usaha bantuan, pemulihan dan kesiapsiagaan di lokasi kejadian.
Dana tersebut digunakan untuk menggerakkan tiga aspek utama iaitu pemulihan dan penempatan semula, pencegahan dan mitigasi, serta penyediaan dan kesiapsiagaan.
Ini termasuk kajian geofizik untuk mengetahui kebolehjayaan dan mengenalpasti lokasi terbaik untuk memasang perigi tiub, membaiki tempat perlindungan dan membantu pemilik perusahaan kecil di kawasan tersebut menyambung semula perniagaan dan meneruskan kehidupan mereka.
Perigi tiub dengan kedalaman lebih kurang 150-meter dan tangki air 4,000 gelen yang akan dipasang adalah penting sebagai sumber bekalan air bersih untuk kegunaan persendirian, isi rumah dan keperluan sanitari seperti air minuman, mandi, memasak dan mengemas.
Bekalan air bersih ini akan mengurangkan risiko kesihatan yang timbul akibat penggunaan sumber air permukaan yang tercemar disebabkan banjir. Fungsi perigi tiub pula adalah untuk menggali air bersih daripada bawah permukaan atau akuifer air bawah tanah.
Tiga buah rumah yang mengalami kerosakan banjir tetapi dianggap masih selamat didiami, telah dibaiki menggunakan wang sumbangan Zurich Malaysia. Kerja-kerja pembaikan termasuklah membaik pulih dinding, bumbung, lantai dan struktur lain bagi memastikan ianya boleh didiami semula. \
Keselamatan dan pendawaian elektrik rumah-rumah ini telah dipertingkatkan, serta dilengkapi dengan kelengkapan elektrik asas seperti lampu dan kipas.
Selain keperluan asas untuk berlindung, wang disalurkan juga diperuntukkan untuk membantu peniaga kecil menggantikan aset yang rosak dengan yang baharu agar mereka dapat menyara hidup dan membekalkan barangan dan perkhidmatan kepada komuniti sekitar agar menjadi mampu berdikari.
Antara yang menerima manfaat bantuan ini adalah penduduk Hulu Langat yang menyediakan khidmat menjahit serta menyediakan peluang pekerjaan untuk komuniti mereka.
Ketua Zurich Malaysia Junior Cho berkata, rakyat Malaysia telah menunjukkan semangat tolong menolong dan mempunyai daya tahan yang tinggi untuk menghadapi kesusahan ketika banjir.
''Ia memberikan kami dorongan dan menjadi sumber inspirasi. Amat penting untuk usaha-usaha pencegahan dan mitigasi terus dilakukan, walaupun banjir tidak lagi menjadi tajuk utama berita, bagi memastikan masyarakat lebih bersedia untuk menampung aktiviti seharian mereka.
''Kami berbesar hati bekerjasama dengan MERCY Malaysia yang berkongsi kebimbangan yang sama dalam membantu komuniti yang terkesan untuk pulih dan bersedia menghadapi banjir yang mungkin berlaku di masa hadapan.
''Sebahagian daripada komitmen kami untuk bersama rakyat Malaysia melalui kehidupan mereka, kami berharap usaha bersama kami membina daya tahan untuk komuniti dan membantu membina masa depan yang lebih cerah,” katanya dalam kenyataan di sini.
Sumbangan berjumlah RM432,493 ini dikumpulkan daripada kutipan derma daripada kakitangan Zurich Malaysia dan dipadankan oleh Z Zurich Foundation, dan lebihan dana perniagaan takaful keluarga dan takaful am. - DagangNews.com