Zurich Malaysia, TRCRC jalin kerjasama jayakan inisiatif pulihara pokok hutan terancam | DagangNews Skip to main content

Zurich Malaysia, TRCRC jalin kerjasama jayakan inisiatif pulihara pokok hutan terancam

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 7 Jun - Zurich Malaysia hari ini mengumumkan kerjasama dengan Tropical Rainforest Conservation and Research Centre (TRCRC) bagi melaksanakan dan mempercepatkan usaha pemuliharaan untuk menyelamatkan dipterokarpa, sejenis keluarga pokok kayu yang penting, daripada kepupusan.

 

Keluarga Dipterocarpaceae terdiri daripada 16 genera dan 700 spesies yang diketahui, yang mana 162 daripadanya adalah endemik kepada Borneo dan tidak ditemui di mana-mana tempat lain di dunia. 

 

Ketua Zurich Malaysia, Junior Cho berkata, Dipterokarpa adalah tulang belakang ekosistem hutan hujan tropika Malaysia yang menyokong pelbagai bentuk kehidupan. 

 

"Kami berharap langkah untuk memulihara warisan biologi penting ini menjadi sumber inspirasi masyarakat untuk mengenalpasti dan menyokong usaha-usaha menangani perubahan iklim, dan membantu masyarakat untuk menjadi lebih berdaya hidup dan membina masa depan yang lebih cerah bersama. 

 

"Sebagai salah satu syarikat korporat yang menandatangani ikrar 1.5 darjah Celsius Sasaran Perniagaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kolaborasi bersama TRCRC juga menyokong komitmen kami untuk mengehadkan purata kenaikan suhu global kepada 1.5°C berbanding paras pra-industri kerana pokok-pokok ini bertindak sebagai sinki karbon," katanya dalam satu kenyataan.

 

Pengarah Eksekutif TRCRC, Dr Dzaeman Dzulkifli pula berkata, sebanyak 62% daripada semua spesies dipterokarpa di Borneo adalah terancam. 

 

"Kita tidak boleh berdiam diri dan melihat spesies utama ini hilang kerana habitat yang diliputi hutan mengandungi 80% daripada biodiversiti daratan dunia. Usaha memulihkan hutan hujan tropika dan menangani kehilangan biodiversiti di Malaysia adalah tumpuan TRCRC sejak penubuhan kami pada 2012. 

 

 

zurich

 

 

"Kami berbesar hati Zurich Malaysia memahami keperluan mendesak dan kepentingan usaha pemuliharaan serta sudi bekerjasama dengan kami. Selain daripada menanam pokok, kami akan membina ekosistem yang berdaya tahan dan berfungsi memelihara kepelbagaian biologi dan menyediakan mata pencarian yang mampan untuk komuniti tempatan yang terlibat," katanya.

 

Usaha Zurich Malaysia dan TRCRC merangkumi penubuhan dua Plot Koleksi Hidupan Hutan Hujan Tropika (TRLC) seluas 1.5 hektar di Merisuli, kawasan pemuliharaan yang diwartakan di Lahad Datu, Sabah. 

 

 

zurich

 

 

Plot ini penting untuk pengumpulan data dan penanaman pokok Sangat Terancam, Terancam Dan Jarang Ditemui (ERT) dalam persekitaran terkawal untuk mengelakkan kepupusannya.

 

Selain itu, kawasan seluas 15 hektar di Merisuli akan ditanam semula dengan dipterokarpa ERT menjelang 2025, sekaligus memperluaskan tapak sedia ada TRCRC seluas 224 hektar dalam Projek Pengurusan Hutan Lestari Ulu Segama-Malua. 

 

 

zurich

 

 

Untuk menjadikan matlamat itu satu realiti, iaitu menjadi antara syarikat yang paling bertanggungjawab dan memberi impak positif di dunia, kerjasama ini juga membantu menyokong mata pencarian komuniti tempatan dan orang asli, yang mana mereka merupakan pihak berkepentingan utama projek ini. - DagangNews.com