KUALA LUMPUR 25 Mac - Pengendali rangkaian mudah alih terbesar dan bank keempat terbesar di Malaysia dilihat antara pesaing utama yang bakal memperoleh 5 lesen perbankan digital apabila diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) akhir bulan ini, demikian menurut laporan Bloomberg.
Jelas laporan itu, antara yang disebut-sebut ialah konsortium terdiri daripada Axiata Group Bhd. dan RHB Bank Bhd.
"Selain itu, terdapat juga permohonan daripada kumpulan termasuk Kenanga Investment Bank Bhd., Kerajaan Negeri Sarawak dan Revenue Group Bhd., sebuah firma perkhidmatan teknologi maklumat," katanya hari ini.
Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus sebelum ini berkata, bank pusat menerima 29 permohonan yang membida untuk meningkatkan akses kepada kepada segmen yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan dalam sistem perbankan negara.
Malaysia akan mengikuti jejak langkah negara dari Filipina ke Singapura yang mengeluarkan lesen berkenaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
BNM mahu pemberi pinjaman digital membantu merangsang lebih ramai orang menabung untuk masa depan dan lebih ramai usahawan mengembangkan perniagaan mereka untuk menguasai bahagian pasaran dalam e-dagang di Asia Tenggara, yang menempatkan lebih 650 juta orang.
Malah, Nor Shamsiah juga menjangkakan penyertaan bank digital dapat membantu mempercepatkan pendigitalan bank sedia ada.
Jelasnya, pemohon yang berjaya dan memenuhi kesemua kriteria kehematan dijangka dapat menyumbang ke arah rangkuman kewangan yang lebih luas dengan menawarkan produk dan perkhidmatan kewangan untuk mengurangkan jurang pasaran bagi golongan yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan dan yang tidak mendapat perkhidmatan kewangan.
Antara pesaing lain termasuklah usaha sama antara Grab Holdings Ltd bersama rangkaian mudah alih Singapura, Singapore Telecommunications Ltd atau dikenali sebagai Singtel (konsortium yang memperoleh lesen bank digital Singapura pada 2020).
Selain itu, ia turut menyaksikan kumpulan terdiri daripada Genting Plantations Bhd., PUC Bhd serta Kerajaan Negeri Pahang dan Sabah; usaha sama AEON Financial Service Co. Ltd. (yang berpangkalan di Jepun) dan unitnya di Malaysia, AEON Credit Service (M) Bhd.
Turut serta, konsortium terdiri daripada BigPay, dimiliki syarikat penerbangan AirAsia, Capital A Bhd. bersama Malaysian Industrial Development Finance Bhd. (MIDF) dan Ikhlas Capital, firma ekuiti persendirian yang berpangkalan di Singapura yang diasaskan bersama Tan Sri Nazir Razak, yang dahulunya bersama CIMB Group.
Ia turut menyaksikan firma Singapura, iFAST Corporation Ltd., membentuk konsortium dengan Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Bhd., THZ Alliance Sdn. Bhd. dan pengasas serta pemegang saham terbesar 99 Speed Mart Sdn Bhd (99 Speedmart), Lee Thiam Wah.
Tidak ketinggalan, Green Packet turut membuat permohonan lesen bank digital dengan kerjasama Zico Holdings Inc. (Singapura) dan M24 Tawreeq Sdn. Bhd. serta kumpulan yang diterajui konglomerate Sunway Bhd.
Bank pusat akan mengumumkan pemohon yang berjaya ketika penerbitan Laporan Tahunan BNM, minggu hadapan. - DagangNews.com