KUALA LUMPUR 16 Mei - Jengkel dengan gesaan meminta Petronas menyelamatkan Sapura Energy Bhd (SEB) yang bermasalah kewangan, seorang pakar ekonomi mengingatkan semua pihak supaya jangan menganggu Petronas - syarikat gergasi minyak negara itu.
“Anda mahu Petronas menyelamatkan vendornya? Mengarut! Pada masa yang sama, mereka mahukan dividen daripada Petronas.
“Siapa tahu, mungkin mereka akan dapatkan Petronas untuk membayar Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) nanti. Mari kita cekik Petronas sampai mati,” kata pakar ekonomi Dr Nungsari Ahmad Radhi, menurut MFocus.
Pada 12 Mei, bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mencadangkan agar Petronas mengambil alih SEB bagi mengelak syarikat itu diisytiharkan muflis.
Tambahnya, Petronas mempunyai kepakaran untuk menggiatkan semula syarikat itu. Ahli Parlimen Pekan itu juga mencadangkan agar SEB diberi pinjaman bank yang dijamin Kerajaan.
“Selepas Petronas memperoleh SEB, syarikat minyak negara itu boleh menjamin kontrak bernilai RM7 bilion dan menyelesaikannya, selain menyediakan modal kerja yang kukuh untuk syarikat O&G.
“Apabila SEB telah diperbaharui, Petronas boleh menjualnya. Apabila itu berlaku, Petronas dan Amanah Saham Bumiputera akan mendapat manfaat,” kata Najib dalam debat dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dr Nungsari berkata Petronas harus menyumbang kepada Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) untuk menjamin kewangan negara untuk generasi akan datang.
Sebaliknya, tambah beliau, Kerajaan memasukkan dana KWAN untuk membeli vaksin COVID-19 kerana Putrajaya tidak mempunyai wang ketika itu.
“Nampaknya kita terus berbelanja tanpa mengambil kira perlu menabung untuk generasi akan datang. Masanya akan tiba apabila kita tidak lagi mempunyai dana hasil petroleum,” ujar Nungsari.
Kembangkan ekonomi
Pakar ekonomi veteran itu menambah bahawa Kerajaan perlu melakukan lebih banyak untuk mengembangkan sektor ekonomi lain untuk mempelbagaikan aliran pendapatannya dan bukannya bergantung kepada wang tunai petroleum sahaja.
“Dan Petronas sendiri tidak berprestasi terbaik kerana kita terus bergantung kepadanya. Kedudukannya sebagai syarikat Fortune 500 bakal terjejas.
“Sebagai contoh, pada 2020, Petronas kerugian RM21 bilion tetapi masih perlu memberikan dividen RM34 bilion kepada Putrajaya,” kata Dr Nungsari.
Dalam laporan yang diterbitkan oleh Institut Yusof Ishak (ISEAS) bertajuk "Sektor Minyak dan Gas Malaysia: Jangkaan Berterusan Walaupun Pulangan Merosot", badan pemikir itu menggesa Putrajaya menyemak semula jangkaan mereka terhadap sektor minyak dan gas (O&G) secara amnya, khususnya Petronas.
“Walaupun jangkaan sektor O&G adalah berterusan, kemungkinan untuk memanfaatkan sumber ini tanpa henti untuk menyokong perbelanjaan awam, terus meningkatkan KDNK dan menggalakkan keusahawanan domestik semakin berkurangan.
“Jangkaan yang tidak berubah ini juga memberi tekanan yang besar kepada Petronas untuk terus membuat sumbangan besar kepada tabung awam.
"Melainkan dikurangkan, ini mengancam keupayaan syarikat untuk kekal berdaya maju dan kekal di barisan hadapan teknologi," kata laporan itu. – DagangNews.com