Balik Kampung: PLUS saran masuk lebuh raya sebelum 10 pagi 29 April-2 Mei 2022 | DagangNews Skip to main content

Balik Kampung: PLUS saran masuk lebuh raya sebelum 10 pagi 29 April-2 Mei 2022

KUALA LUMPUR 24 April - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menyarankan pengguna lebuh raya dari Lembah Klang yang menuju ke destinasi lebih jauh seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara) dan Johor, supaya memasuki lebuh raya lebih awal iaitu sebelum jam 10 pagi dari 29 April hingga 2 Mei ini.

 

Sementara itu, bagi mereka yang menuju ke lokasi yang lebih dekat atau ke negeri-negeri lain dinasihatkan untuk memasuki lebuh raya selepas jam 1:00 petang.

 

Untuk perjalanan pulang ke Lembah Klang antara 5 hingga 9 Mei pula, PLUS menyarankan pengguna dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Johor dan lain-lain negeri memasuki lebuh raya sebelum 9 pagi.

 

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, PLUS menerbitkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang direka berdasarkan pola perjalanan trafik daripada musim perayaan dan cuti panjang yang lalu sebagai panduan dan membantu pelanggan lebuh raya menikmati pengalaman perjalanan sebaik mungkin semasa tempoh musim perayaan

 

Menurutnya, memandangkan ini adalah kali pertama selepas 2 tahun menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), rakyat Malaysia dibenarkan pulang ke kampung halaman untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri, PLUS menjangka kira-kira 2 juta kenderaan, iaitu peningkatan sebanyak 25% berbanding 1.6 juta kenderaan sehari yang menggunakan lebuh raya PLUS.

 

Beliau berkata, TTA ini direka untuk mengelak trafik yang menuju ke destinasi yang lebih jauh daripada ‘bertembung’ dengan kumpulan kenderaan yang menuju ke destinasi yang lebih dekat.

 

Katanya, TTA ini bertujuan untuk mengagihkan trafik dan mengelakkan kesesakan daripada memasuki  lebuh raya secara serentak di laluan-laluan utama lebuh raya, plaza tol dan kawasan rehat, sekaligus mengurangkan kesesakan.

 

''Jadi, kami menggesa dan menasihatkan pelanggan lebuh raya untuk mematuhi jadual perjalanan TTA  yang dikeluarkan bagi merancang perjalanan Balik Kampung dan Pulang Ke Bandar,'' kata beliau dalam kenyataan di sini.
 

 

Datuk Zakaria Ahmad Zabidi
                Datuk Zakaria Ahmad Zabidi

 


Di samping jadual TTA, pelanggan lebuh raya juga disaran untuk menggunakan Aplikasi PLUS, Waze atau Google Map untuk mendapatkan pelan perjalanan dengan lebih baik. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: PLUS tempatkan 1,500 petugas di plaza tol sepanjang tempoh Balik Kampung Aidilfitri 29 April-9 Mei

 

Zakaria berkata, berdasarkan kajian PLUS bagi perjalanan kembali semula ke Lembah Klang, pelanggan lebuh raya dijangka mengalami tempoh perjalanan yang lebih panjang di lebuh raya sekiranya mereka memilih untuk tidak mematuhi jadual TTA ini. 

 

“Berdasarkan simulasi pola perjalanan trafik pada musim perayaan, bagi pelanggan lebuh raya dari Utara ke Lembah Klang, mereka dijangka akan mengalami tempoh perjalanan sehingga 10 jam atau dua kali lebih panjang daripada purata tempoh perjalanan sekiranya memasuki lebuh raya selepas jam 9 pagi.

 

Manakala, tempoh perjalanan dari Selatan ke Lembah Klang pula bakal mencecah sehingga 7 jam atau dua kali lebih panjang berbanding purata tempoh perjalanan sekiranya memasuki lebuh raya pada masa yang sama iaitu selepas jam 9 pagi,” kata Zakaria lagi. 


 

PLUS

 


Dalam pada itu, pelanggan lebuh raya boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi Twitter @PLUSTrafik, Aplikasi PLUS, talian PLUSLine 1800-88-0000, Chatbot PUTRI, papan tanda elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih serta mengikuti laporan trafik terkini menerusi siaran-siaran radio utama negara.

 

PLUS juga menasihatkan pelanggan lebuh raya supaya mematuhi peraturan lalu lintas, memandu dengan berhemah, pastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan selamat sampai ke destinasi untuk meraikan Aidilfitri bersama keluarga tersayang. - DagangNews.com