PLUS tempatkan 1,500 petugas di Plaza Tol sepanjang tempoh Balik Kampung Aidilfitri 29 April-9 Mei 2022 | DagangNews Skip to main content

PLUS tempatkan 1,500 petugas di Plaza Tol sepanjang tempoh Balik Kampung Aidilfitri 29 April-9 Mei 2022

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 25 April - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menugaskan 1,500 Pembantu Khidmat Pelanggan (CSA) di plaza dan lorong tol sepanjang lebuh raya untuk memberi bantuan kepada pelanggan yang menghadapi masalah transaksi tol di lorong sepanjang tempoh Balik Kampung Aidilfitri dari 29 April hingga 9 Mei ini.

 

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, PLUS juga akan menempatkan kakitangan tambahan dari Ibu Pejabat untuk memberikan sokongan di plaza-plaza tol utama di seluruh negara.

 

''PLUS akan memberikan penumpuan yang lebih kepada keselesaan pelanggan lebuh rayanya dengan meminimumkan kesesakan di semua 1,100 lorong tol di 94 plaza tol sepanjang lebuh raya dari 29 April hingga 9 Mei yang akan datang.

 

''Ini termasuk memastikan kelancaran perjalanan dan keselesaan di Kawasan Rehat dan Rawatnya (R&R) bagi menampung keperluan 2 juta kenderaan yang akan melakukan perjalanan pulang ke kampung setiap hari sepanjang tempoh tersebut,'' katanya dalam kenyataan di sini.

 

Zakaria berkata, PLUS mengingatkan pelanggan lebuh raya untuk menjangkakan masa perjalanan yang lebih panjang ke destinasi mereka kerana diramalkan kemungkinan berlaku kesesakan akibat jumlah kenderaan yang tinggi di jalan raya.

 

''Pengguna lebuh raya boleh merancang perjalanan lebih awal dengan menggunakan Aplikasi PLUS dan juga ikuti jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) serta menggunakan Waze dan Google Map untuk jangkaan pelan laluan perjalanan,” ujarnya.

 

KLIK DI SINI UNTUK CADANGAN WAKTU PERJALANAN DI LEBUH RAYA PLUS

 

Pada ketika ini, terdapat 3 kaedah pembayaran tol yang disediakan di plaza tol iaitu kad Touch ‘n Go, SmartTAG dan yang terbaharu, RFID sebagai pilihan tambahan kepada kaedah pembayaran yang sedia ada.

 

“Pemandu dinasihatkan agar menggunakan kaedah pembayaran yang sama ketika masuk dan keluar dari lebuh raya. Sebagai contoh, sekiranya pelanggan menggunakan mod RFID ketika masuk ke lebuh raya melalui Plaza Tol Jalan Duta, mereka juga mestilah keluar dari lebuh raya melalui lorong RFID,'' katanya.


 

Datuk Zakaria Ahmad Zabidi
Datuk Zakaria Ahmad Zabidi

 


Ini dapat mengelakkan mereka terkandas di lorong tol dan memberi kesan kepada perjalanan orang lain. PLUS juga menasihatkan orang ramai supaya memastikan baki e-Wallet (bagi transaksi RFID) dan baki kad Touch ‘n Go sentiasa mencukupi untuk perjalanan mereka.

 

Pada ketika ini, terdapat lebih daripada 11,000 pusat tambah nilai kad Touch ‘n Go disediakan di seluruh negara termasuk di lebuh raya, mesin ATM, stesen-stesen minyak terpilih, kedai serbaneka serta lain-lain lokasi di luar ekosistem lebuh raya. Jumlah ini termasuk 67 Kiosk Layan Diri (SSK) di plaza-plaza tol terpilih.

 

Selain itu, terdapat 22 kaunter Touch ‘n Go Spot di stesen minyak terpilih sepanjang lebuh raya untuk membolehkan pelanggan membuat tambah nilai kad Touch ’n Go tanpa dikenakan sebarang caj tambahan. 

 

Untuk maklumat lanjut berkenaan lokasi kemudahan tambah nilai, pelanggan lebuh raya boleh menghubungi Touch ‘n Go Careline melalui emel di [email protected] atau layari www.touchngo.com.my

 

Pada ketika ini, transaksi tol menggunakan RFID boleh digunakan di semua lebuh raya di Pantai Barat Semenanjung Malaysia. Walau bagaimanapun, ia masih belum diperkenalkan lagi di rangkaian lebuh raya di Pantai Timur. - DagangNews.com