Bank-bank dijangka sediakan RM1 bilion biayai kos Urus | DagangNews Skip to main content

Bank-bank dijangka sediakan RM1 bilion biayai kos Urus

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
nabila@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 14 Okt. - Bank-bank dijangka memperuntukkan sebanyak RM1 bilion bagi membiayai kos Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (Urus) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.

 

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Urus yang merupakan program bantuan bayaran balik pinjaman yang komprehensif dan dirangka oleh sektor perbankan bersama dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) akan dikelolakan agensi itu yang akan memberi bantuan pelan kewangan peribadi serta akses kepada pakej pendidikan pengurusan kewangan kepada peminjam. 

 

Katanya, permohonon untuk program tersebut akan dibuka bermula 15 November 2021 sehingga 31 Januari 2022.

 

"Urus ditawarkan kepada peminjam B50 yang terjejas, iaitu peminjam dengan pendapatan isi rumah kurang dari RM5,880 atau lebih rendah. 

 

"Manfaat Urus merangkumi pengecualian faedah untuk tiga (3) bulan, pengurangan bayaran ansuran untuk tempoh sehingga 24 bulan dan pengurangan kadar faedah. 

 

"Dalam tempoh ini, pelanggan dengan pembiayaan dan kad kredit peribadi tanpa jaminan juga boleh mendapat manfaat daripada kadar faedah yang dikurangkan untuk membantu meringankan beban kewangan mereka," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

BACA JUGA: PM umum program Urus bantu B50

 

Tambah Tengku Zafrul, peminjam  yang  tidak  layak  mendapatkan  bantuan  di  bawah  program  Urus  tetapi  masih memerlukan bantuan bayaran balik pinjaman boleh terus menghubungi bank masing-masing untuk  berbincang  tentang  pilihan  bayaran  balik pinjaman  yang  sesuai  dengan  keadaan kewangan mereka.

 

Semalam kerajaan mengumumkan pelaksanaan Urus yang akan dijalankan sektor perbankan dalam masa terdekat dalam usaha membantu peminjam yang berada dalam kumpulan 50% terbawah atau B50.

 

Perdana Menteri, berkata, Urus merupakan program sokongan bantuan bayaran balik pinjaman yang komprehensif dan akan ditawarkan kepada pelanggan B50 yang terjejas.

 

Sementara itu Tengku Zafrul berkata, kerajaan juga sedang mengkaji kaedah-kaedah lain untuk membantu golongan Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang akan diumumkan dalam Bajet 2022. -DagangNews.com