Banteras rasuah untuk hentikan pedagang haram | DagangNews Skip to main content

Banteras rasuah untuk hentikan pedagang haram

Kastam Johor menunjukkan rampasan rokok seludup

KUALA LUMPUR 25 Jun 2020 – Rasuah adalah faktor utama mendorong perdagangan haram di Malaysia, kata penganalisis jenayah dan bekas pencegah rasuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersempena dengan Hari Antarabangsa Memerangi Penyalahgunaan Dadah dan Perdagangan Haram pada 26 Jun ini.

Dato’ Seri Akhbar Satar, yang merupakan pemegang kerusi profesor di Institut Jenayah dan Kriminologi, HELP University dan juga bekas Presiden Transparency International Malaysia berkata, “Perdagangan haram, sama ada dadah, rokok, produk cetak rompak atau juga manusia, dipermudahkan oleh rasuah. Akibatnya, hasil-hasil haram daripada aktiviti seumpamanya diguna untuk membiayai pula amalan rasuah pada skala yang besar dan luas.

Kitaran ganas ini mengakibatkan Kerajaan kerugian berbilion Ringgit dari segi hasil dan mendatangkan kerosakan kepada kesihatan rakyat Malaysia dan menjejaskan prestasi perniagaan-perniagaan yang sah,’’ kata beliau.

Menurut Dato’ Seri Akhbar, perdagangan haram rokok sahaja telah menyebabkan Kerajaan kehilangan RM5 bilion dari segi hasil cukai setiap tahun. “Bayangkan jumlah wang yang diraih oleh sindiket jenayah daripada pengedaran rokok haram sahaja?

“Jelas, jumlah yang sangat besar dana diperoleh daripada spektrum perdagangan haram boleh dengan mudah menggoda individu-individu berkuasa, baik di sektor awam mahupun swasta, supaya mengalihkan kepala daripada memandang kejahatan yang berlaku!,’’ ujarnya.

Daripada segi cara penyelesaian, Dato’ Seri Akhbar berkata peruntukkan di bawah Seksyen 17A Akta SPRM 2009, yang baru sahaja dikuatkuasakan pada 1 Jun lalu, adalah langkah yang betul.

“Mengikut Akta ini, organisasi komersial kini tertakluk kepada tindakan penguatkuasaan seandainya kakitangan atau sekutu mereka terlibat di dalam jenayah rasuah. Akta ini juga menggalakkan perniagaan untuk beroperasi dengan integriti, bebas daripada rasuah dan mempromosikan amalan tadbir urus baik dengan mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi mengelak rasuh di dalam organisasi mereka,’’ jelasnya.

“Dalam erti kata lain, bukan sahaja organisasi komersial boleh disabitkan atas kesalahan rasuah yang dilakukan oleh orang yang dikaitkan dengannya tetapi turut merangkumi kakitangan atau orang tengah, tetapi bebannya kini beralih terhadap organisasi komersial termasuk pengurusan kanan syarikat semasa berlakunya jenayah rasuah, akan dianggap secara persendirian turut melakukan kesalahan. Syarikat-syarikat yang terbabit di dalam penyeludupan rokok haram, sila ambil perhatian!,” kata Dato’ Seri Akhbar.

“Bagaimanapun, peruntukan baharu Seksyen 17A tidak bermakna sektor swasta menanggung bebas sepenuhnya ke atas perlakuan rasuah. Rasuah adalah masalah endemik yang mesti dibanteras menerusi usaha kolektif oleh semua segmen masyarakat termasuk penggubal-penggubal dasar, agensi-agensi penguatkuasaan, agensi-agensi awam, perniagaan persendirian dan orang awam. Kedua-dua pemberi dan penerima rasuah adalah bertanggungjawab. Hanya dengan itu kita boleh menangani permasalahan seperti perdagangan haram ini secara berkesan.”

“Penyelesaian lain bagi memerangi amalan rasuah berkaitan perdagangan haram adalah termasuk menggunakan teknologi maju yang dimiliki pegawai-pegawai penguatkuasaan yang boleh dipercayai untuk memantau laluan-laluan penyeludupan, menempatkan pegawai di sesuatu lokasi mengikut sistem giliran, sokongan rakyat di dalam menyalurkan maklumat yang baik, mengambil tindakan ke atas syarikat-syarikat yang terbabit di dalam pengedaran rokok haram termasuk di bawah Seksyen 17A Akta SPRM 2009 yang berpotensi memutuskan rantaian rasuah dan mewujudkan dasar-dasar yang memperkasakan pegawai pencegahan rasuah di dalam melaksanakan tugas mereka,” ujar beliau.

Tema bagi Hari Antarabangsa Memerangi Penyalahgunaan Dadah dan Perdagangan Haram 2020 “Pengetahuan Lebih Baik Untuk Kesejahteraan Lebih Baik” (Better Knowledge for Better Care) menekankan keperluan untuk menambah baik kefahaman mengenai masalah dadah dunia dan bagaimana nanti, dengan pengetahuan lebih baik akan dapat menjalin kerjasama antarabangsa yang lebih baik di dalam memerangi impaknya ke atas kesihatan, tadbir urus dan keselamatan. – DagangNews.com

Mengenai Prof Madya Dato’ Seri Akhbar

Dato’ Seri Akhbar Satar adalah ahli kriminologi, penganalisis jenayah dan bekas pegawai pencegahan rasuah di SPRM, yang berasal dari Kelantan.

Bekas presiden Transparency International Malaysia, beliau kini merupakan presiden Persatuan Pemeriksa Penipuan Bertauliah Malaysia (MACFE) dan juga menduduki kerusi profesor di  Institute of Crime and Criminology, HELP University. 

Dengan lebih 36 tahun pengalaman dalam bidang siasatan, beliau telah menulis buku dan berceramah mengenai kes-kes penipuan, rasuah, etika, integriti dan mengesan penipuan pada seminar dan konvensyen di dalam dan luar negara.

Beliau juga merupakan ahli Institut Integriti Malaysia, Persatuan Poligraf Amerika, Pertubuhan Kriminologi Amerika, Persatuan Antarabangsa Penganalisis Jenayah dan ahli sekutu di Asian Institute of Chartered Bankers.