Bayaran ujian pengesanan COVID-19 kini dapat pelepasan cukai - PM | DagangNews Skip to main content

Bayaran ujian pengesanan COVID-19 kini dapat pelepasan cukai - PM

Gambar hiasan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 18 Jan. - Skop pelepasan cukai bagi perbelanjaan pemeriksaan kesihatan penuh kini diperluaskan untuk meliputi bayaran ujian pengesanan COVID-19.

 

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di mana merupakan inisiatif di bawah pakej bantuan baharu, Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai).

 

“Seterusnya, untuk menyokong lebih banyak individu membuat ujian saringan dan pengesanan COVID-19 secara persendirian, skop pelepasan cukai bagi perbelanjaan pemeriksaan kesihatan penuh yang telah dinaikkan daripada RM500 kepada RM1,000 seperti diumumkan pada Belanjawan 2021, kini diperluaskan untuk meliputi bayaran ujian pengesanan COVID-19.

 

“Selain itu, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) turut terlibat dalam pelaksanaan Program Ujian Saringan COVID-19 ke atas pekerja asing yang berdaftar. 

 

“Kos saringan akan ditanggung sepenuhnya oleh Perkeso di zon-zon merah bagi mengenal pasti kluster COVID-19 di tempat kerja. 

 

“Dari 1 Disember 2020 hingga 17 Januari 2021, bilangan pekerja asing yang telah menjalani ujian saringan adalah seramai 160,982 orang,” kata Muhyiddin ketika mengumumkan pakej bantuan baharu secara langsung di Facebook. 

 

Sebelum itu, Muhyiddin mengumumkan pakej bantuan Permai yang bernilai sebanyak RM15 bilion untuk menambah baik inisiatif sedia ada yang masih berterusan dan juga mempercepatkan pelaksanaan inisiatif yang berkaitan. 

 

Baca : PM umum Permai, pakej rangsangan baharu bernilai RM15 bilion

 

Baca : Permai : Peruntukan RM150 juta tambah lebih 3,500 anggota kesihatan

 

Baca : Kumpulan pertama terima vaksin COVID-19 awal Mac - PM

 

Terdapat tiga matlamat utama dan 22 inisiatif digariskan di bawah pakej bantuan berkenaan.

 

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, prosedur operasi standard (SOP) bagi pembinaan bangunan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mensyaratkan syarikat menyediakan penginapan lengkap dan mengehadkan pekerjanya ke tapak pembinaan. 

 

Ini mengambil kira kerisauan rakyat mengenai jangkitan COVID-19 dalam kalangan pekerja asing, terutamanya mereka yang bekerja di tapak pembinaan dan kilang. 

 

“Selaras itu, majikan disarankan untuk memperketatkan amalan SOP, menambah baik penginapan dan kawalan pergerakan pekerja asing serta meningkatkan saringan bagi menyokong usaha membendung penularan COVID-19,” jelasnya lagi. - DagangNews.com