Berhati-hati dengan prospek Hektar REIT, AmInvestment mulakan liputan dengan saranan 'pegang' | DagangNews Skip to main content

Berhati-hati dengan prospek Hektar REIT, AmInvestment mulakan liputan dengan saranan 'pegang'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 24 Jun - AmInvestment Bank Research memulakan liputan terhadap Hektar Real Estate Investment Trust (Hektar REIT) dengan saranan 'pegang' pada nilai wajar 60 sen sesaham. 

 

Menurut firma itu, kumpulan dijangka merekodkan pendapatan bersih sebanyak RM18.6 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 setelah mengambil kira kadar pulangan semakan sewa yang negatif 

 

Bagaimanapun, katanya, anggaran pendapatan bersih meningkat kepada RM19.1 juta pada FY23 dan RM19.4 juta (FY24) apabila kadar sewa meningkat sekitar 2 hingga 4% mulai FY23 dan seterusnya.

 

"Selain itu, ia turut dipengaruhi peningkatan 1% kadar penghunian bagi hartanah runcit yang dimiliki kumpulan dan kos pinjaman yang lebih tinggi," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Setakat 31 Disember 2021, pusat beli-belah serantau dengan jumlah kawasan boleh disewa bersih (NLA) lebih daripada 500,000 kaki persegi telah menyumbang 61% daripada jumlah hasil kasar kumpulan. 

 

Pusat beli-belah runcit utama yang dimiliki oleh Hektar REIT ialah Subang Parade dan Mahkota Parade.

 

Frasers Centrepoint Trust (FCT) ialah pemegang unit yang besar dan rakan kongsi strategik dengan 31% pegangan ekuiti dalam Hektar REIT. Malah, ia juga merupakan salah satu pemilik pusat runcit pinggir bandar terbesar di Singapura.

 

Menurut AmInvestment, kerjasama strategik dengan FCT dijangka membantu Hektar REIT mempercepatkan pelan pengambilalihan dengan meneroka peluang usaha sama, mendapatkan pembiayaan dan memanfaatkan sinergi dalam kepakaran dan berkaitan peruncitan.

 

Namun, firma itu berhati-hati dengan prospek Hektar REIT berikutan jangkaan pulangan sewa yang negatif bagi FY22 meningkatkan kadar penghunian di tengah-tengah lebihan bekalan ruang runcit sedia ada di Malaysia. 

 

Pada masa sama, katanya, prospek jualan runcit juga tidak menentu di tengah-tengah tekanan inflasi yang dijangka melembapkan perbelanjaan pengguna.

 

"Di samping itu, ia juga disebabkan penurunan kadar penghunian di Subang Parade dan Mahkota Parade serta campuran penyewa tertumpunya, dengan penyewa daripada stor gedung menduduki 40% daripada jumlah NLA yang tersedia bagi aset REIT," katanya.

 

Dalam pada itu, AmInvestment berkata, sentimen pasaran bagi REIT dijangka kekal lemah dalam tempoh terdekat ekoran persekitaran kenaikan kadar faedah. 

 

Setakat 12.30 tengah hari ini, harga saham Hektar REIT kekal tidak berubah pada 55.5 sen sesaham. - DagangNews.com