Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Volatiliti - 22 June 2022

Beri rakyat faham rasional pemansuhan subsidi minyak masak

 

 

KERAJAAN telah mengumumkan untuk memansuhkan subsidi minyak masak tulen botol bagi minyak masak tulen bagi botol 2 kilogram (kg), 5 kg dan dalam tin 17 kg bermula 1 Julai 2022.

 

Hal ini telah diumumkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

 

Pengumuman ini telah membimbangkan rakyat terutamanya peniaga yang terlibat dalam industri makanan.

 

Apa yang pasti, dengan pemansuhan subsidi minyak masak tulen ini akan menyebabkan minyak masak 2kg, 5kg dan 17kg akan mengalami kenaikan harga.

 

Semua minyak masak ini akan dijual dengan harga ditentukan oleh harga minyak masak mentah (CPO) di pasaran dunia.

 

Inilah yang meresahkan rakyat apabila harga ini akan berubah-ubah mengikut harga pasaran dunia atau semasa.

 

Apakah nasib rakyat dalam mendapatkan harga minyak masak yang lebih stabil? Adakah kerajaan akan mengawal harga minyak yang tidak bersubsidi ini? Inilah persoalan yang bermain di minda rakyat.

 

Faktor lonjakan harga minyak

Perang Rusia-Ukraine merupakan faktor utama dalam lonjakan harga minyak sawit mentah. Harga minyak sawit mentah pernah naik sehingga kepada RM8,000 setan.

 

Di Malaysia,  Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) meramalkan harga minyak makan itu kekal melebihi paras RM5,000 setan sekurang-kurangnya untuk separuh pertama 2022 ini.

 

Dengan lonjakan harga minyak sawit mentah, kerajaan terpaksa menanggung subsidi yang tinggi bagi minyak masak. Dengan pemansuhan subsidi ini, beban kerajaan yang dapat dikurangkan.

 

 

kpdnhep

 

 

Rakyat jangan panik

Dalam pemansuhan subsidi minyak ini, rakyat jangan lah terlalu panik kerana subsidi minyak masak peket satu kilogram masih diteruskan. Pemansuhan subsidi minyak ini tidak termasuk bagi minyak masak piket kg ini.

 

Kerajaan memberi jaminan minyak masak peket 1kg ini masih dijual dengan harga RM2.50 untuk rakyat.

 

Cukupkah menampung penggunaan?

Dengan memansuhkan subsidi minyak 2 kg, 5 kg, 17 kg  pastikan rakyat,  pengguna atau peniaga akan beralih membeli minyak masak 1kg  untuk mendapatkan harga minyak masak yang murah.

 

Pastinya permintaan minyak masak 1kg ini akan meningkat. Dalam situasi semasa sahaja, walaupun subsidi minyak masak masih belum dimansuhkan, minyak masak 1kg ini sudah “tiada” atau kurang dalam pasaran, inikan pula selepas pemansuhan subsidi minyak Julai ini.

 

Apa yang lebih meresahkan bagi Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) dan peniaga yang menggunakan minyak masak yang banyak bagi operasi perniagaan mereka seperti perusahan kerepek, ayam goreng, pengusaha restoren dan lain-lain yang memerlukan minyak masak yang banyak yang akan meningkatkan kos operasi mereka.

 

Golongan ini kebiasaannya membeli minyak masak 5kg, dan 17kg bagi operasi perniagaan mereka. Buat masa kini, mereka ini sudah cukup terbeban dengan kos barang kering dan mentah yang naik dan kini terpaksa menanggung kos minyak masak yang tinggi juga.

 

 

kpdnhep

 

Kesan berganda kepada rakyat

Apa yang dikhuatiri, dengan kenaikan harga minyak ini, PKS, peniaga atau pengusaha restoran  akan menaikkan harga makanan yang di jual akibat kos yang tinggi yang mereka tanggung dan akhirnya pengguna, pembeli atau rakyat juga yang menanggung kesannya dan terpaksa membayar harga makanan dinaikkan.

 

Ini yang dirisau akan berlaku!

 

Skim Rasionalisasi Minyak Masak (COSS)

Bagi melindungi rakyat terutamanya golongan B40, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM600 juta subsidi minyak masak Program COSS melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

 

COSS adalah program subsidi minyak masak bertujuan untuk meringankan bebanan pengguna dalam kos sara hidup mereka dan kualiti minyak masak yang dijual dalam peket adalah sama dengan yang dijual dalam botol.

 

Peruntukkan ini melebihi peruntukan tahun lalu sebanyak RM528 juta. Program COSS ini akan memberi subsidi kepada minyak masak 1kg dan ditawarkan kepada pengguna pada harga mampu iaitu RM2.50 sepeket walaupun CPO di pasaran dunia meningkat.

 

Kerajaan akan memperuntukkan 60,000 tan metrik sebulan bersamaan dengan 60 juta   minyak masak peket sebulan bagi kegunaan di Malaysia.

 

Pastikan tiada ketirisan minyak bersubsidi

KPDNHEP perlu proaktif dalam memastikan tiada ketirisan dalam bekalan minyak masak bersubsidi. Kita banyak mendengar laporan yang dilaporkan berlaku penyelewengan minyak masak bersubsidi oleh pihak yang telah diberikan amanah. Ia adalah isu ketirisan yang mengakibatkan kerajaan kerugian ratusan juta ringgit.

 

Terdahulu, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pernah mendedahkan sebanyak 63 syarikat dikesan menjalankan kegiatan penyelewengan subsidi minyak masak membabitkan cukai tidak berbayar berjumlah RM200 juta.

 

Modus operandi penyelewengan subsidi minyak masak itu adalah syarikat berkenaan mendapatkan bekalan bersubsidi daripada syarikat pembekal dengan menggunakan lesen lain untuk dijual pada harga pasaran, selain mengupah pihak ketiga menguruskan pemindahan minyak masak bagi tujuan penjualan ke luar negara dan syarikat menuntut subsidi tetapi tiada sebarang penjualan minyak masak peket.

 

Ketirisan yang berlaku menyebabkan bekalan minyak masak bersubsidi berkurangan di pasaran. Bagi mengelak ketirisan dalam pembekalan barang kawalan tersebut, syarikat pembungkusan minyak masak yang dilantik KPDNHEP perlulah mematuhi syarat yang ditetapkan. KPDNHEP juga  memastikan matlamat subsidi ini akan sampai kepada golongan sasar.

 

 

kpdnhep

 

 

Gantung lesen dan tindakan tegas

KPDNHP boleh mengambil langkah tegas dalam isu ketirisan dan penyelewengan subsidi minyak ini. Jika syarikat yang dilantik Jika terbukti menyeleweng, gantung lesen mereka dan kuota pengeluaran minyak masak bersubsidi boleh diberi kepada syarikat lain.

 

Bagi memastikan hal ini dapat dikurangkan atau dielakkan, KPDNHEP dan agensi yang terlibat perlu melakukan pemantauan dan turun padang bagi memantau keadaan ini.

 

Semua pihak juga perlu memainkan peranan juga bagi memastikan kejayaan membendung ketirisan dan penyelewengan subsidi ini, beban dan tanggungjawab bukan terletak kepada kerajaan dan KPDNHEP semata-mata.

 

Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011

Dari sudut berlainan pula, dari pihak peniaga yang menjual minyak masak ini, jika ada peniaga yang ingin “mengambil kesempatan” dengan isu ini dengan melakukan pencatutan penjualan minyak bagi menaikkan harga minyak masak sesuka hati, mereka perlu diambil tindakan melalui pihak berkuasa.

 

Kerajaan dan agensi berkenaan perlu memantau perkara ini dan mana-mana peniaga yang melalukan perkara ini boleh diambil tindakan melalui akta.

 

Perundangan yang berkuatkuasa bagi menentukan keuntungan tinggi yang tidak munasabah bagi suatu barangan atau perkhidmatan adalah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011) dan Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah) 2018.

 

Peraturan ini merupakan suatu mekanisme kawalan di peringkat Kementerian bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan ke atas pengguna untuk mengambil keuntungan yang berlebihan bagi suatu barangan dan perkhidmatan serta memastikan kenaikan harga barangan atau caj bagi perkhidmatan yang dilaksanakan adalah terkawal.

 

Kawal selia harga Buah Tandan Sawit  (BTS)

Dari konteks makro, kerajaan juga boleh mengawal dari faktor pengeluaran sumber  itu sendiri. Sebagai contoh, Lembaga Kelapa Sawit Malaysia (MPOB) boleh mengawal selia harga BTS.

 

POB mempunyai kapasiti dalam mengawal selia harga BTS melalui punca kuasa  Akta Minyak Sawit Malaysia., MPOB boleh mengawal selia industri sawit Malaysia berkaitan dengan penjualan, pembelian dan pengilangan buah kepala sawit.

 

 

kpdnhep

 

 

Isu ketelusan membeli BTS ini banyak menjadi rungutan dan pertikaian dalam kalangan pekebun sawit. Pihak pengurusan pusat timbang dan pengilang mengenakan harga buah tandan segar yang tidak dibuat secara telus dan tidak memberi lembaran pengiraan harga.

 

Ada yang dilaksanakan kini adalah, MPOB membuat panduan harga harian bagi BTS. MPOB perlu mengawal selia dan mengenakan harga asas berdasarkan harga panduan harian BTS bagi mengelakkan pihak pengurusan timbang atau pengilang mengambil kesempatan dalam “menipu” harga pembelian sawit ini.

 

Harga minyak sawit mentah di Malaysia pada tahun ini juga akan tinggi berdasarkan permintaan sawit yang tinggi berbanding pengeluaran yang masih belum stabil.

 

Harga minyak sawit mentah  (RM/ Tan) secara purata pada Mei 2022 ialah RM6,873.00 dan harga harian terakhir 20 Jun 2022 ialah RM5,398.50

 

Dengan harga sawit yang tinggi ini, pastinya beban kerajaan juga tinggi bagi menampung subsidi. Apa jua keputusan yang dibuat oleh kerajaan agar tidak membebankan rakyat demi kelangsungan hidup mereka era pasca pandemik ini! - DagangNews.com

 

 
SYAMSYUL SAMSUDIN adalah Pensyarah Kanan (Kewangan dan Pelaburan) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Segamat dan merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI

Portfolio Tags