Bersedia hadapi 2 lagi kenaikan dengan OPR dijangka mencecah 2.75% akhir tahun ini | DagangNews Skip to main content

Bersedia hadapi 2 lagi kenaikan dengan OPR dijangka mencecah 2.75% akhir tahun ini

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 15 Ogos - Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) secara berperingkat dan terukur dengan kenaikan 25 mata asas dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada September dan November ini. 

 

Menurut Kenanga Research, langkah itu dilaksanakan bagi menyelaraskan trend kadar dasar di peringkat serantau dan global.

 

Katanya, kenaikan itu akan menjadikan kadar OPR menjelang akhir tahun ini kepada 2.75% yang dilihat akan mengurangkan kadar inflasi secara beransur-ansur yang diunjur meningkat 4.9% pada suku ketiga ini.

 

"Disokong oleh nada BNM yang semakin 'hawkish' dan didorong momentum pertumbuhan kukuh daripada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua yang lebih baik daripada jangkaan, kami menjangkakan bank pusat akan menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas dalam 2 baki lagi mesyuaratnya, tahun ini.

 

"Oleh itu, kami menjangkakan kitaran pengetatan monetari ini akan meredakan tekanan inflasi secara beransur-ansur. Ia dijangka sebahagian besarnya didorong oleh pasaran buruh yang ketat dan peningkatan kos sara hidup," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Baca : Pelarasan OPR perlu dilaksanakan, elak kenaikan mendadak pada masa akan datang - Gabenor BNM

 

Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan kukuh luar jangkaan sebanyak 8.9% pada suku kedua dipacu permintaan domestik yang kukuh di tengah-tengah pemulihan pasaran pekerjaan.

 

Ketika membentangkan data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada Jumaat lalu,  Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, pelarasan OPR yang mula dinaikkan sejak Mei lalu adalah perlu dilaksanakan bagi mengelakkan langkah-langkah yang lebih kukuh pada masa hadapan, antaranya peningkatan dengan lebih cepat dan mendadak. 

 

Menurut beliau, MPC akan terus menilai keadaan yang berkembang dan implikasinya terhadap prospek keseluruhan kepada inflasi dan pertumbuhan domestik. 

 

Susulan itu, Kenanga Research menyemak semula unjuran KDNK tahun ini kepada 5.7% daripada 5.3% sebelum ini dengan jangkaan momentum pertumbuhan separuh pertama akan meningkatkan prestasi pada separuh kedua. 

 

Katanya, memandangkan kesan positif dijangka berkurangan terhadap jangkaan permintaan global yang perlahan, pertumbuhan pada separuh kedua diunjur sederhana kepada 4.5%. 

 

"Namun begitu, pertumbuhan berkemungkinan kekal disokong oleh keadaan pasaran buruh yang bertambah baik dan peningkatan beransur-ansur dalam aktiviti pelancongan," katanya. 

 

Sementara itu, AmInvestment Bank Research turut menjangkakan OPR akan dinaikkan 25 mata asas pada September ini dengan kebarangkalian lagi 25 mata asas pada November.

 

Memandangkan data suku kedua yang kukuh, firma itu menyemak naik unjuran KDNK tahun ini kepada 6.4% berbanding 5.6% sebelum ini.

 

"Di sebalik beberapa ketidaktentuan, kami menjangkakan momentum kekal positif pada 2022. Ini dapat dilihat daripada pertumbuhan pembiayaan yang berkembang 5.6% tahun ke tahun setakat akhir Jun 2022, dengan pembiayaan pernigaan berkembang 5.3% manakala pengguna, 5.9%. 

 

"Indeks pelopor juga menunjukkan potensi prospek kekal menggalakkan pada 111.2 pada Mei 2022," jelasnya. - DagangNews.com