Brahim's bergelut masalah kewangan, sukar jelaskan bayaran OCBC | DagangNews Skip to main content

Brahim's bergelut masalah kewangan, sukar jelaskan bayaran OCBC

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 22 April - Brahim’s Holdings Bhd., semalam menerima notis pembayaran tertunggak dari OCBC Al-Amin Bank setelah gagal melunaskan sepenuhnya tunggakan sewa berjumlah RM49.88 juta setakat 1 April 2021. 

 

Pembayaran tersebut adalah di bawah kemudahan pembiayaan islamik yang diberikan OCBC kepada syarikat penyedia makanan di dalam pesawat itu, yang turut terjejas akibat pandemik COVID-19. 

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini, Brahim's menjelaskan, masalah kewangannya bermula pada 2019 setelah syarikat itu jatuh dalam status Practice Note 17 (PN17).

 

Katanya, di tengah-tengah situasi pandemik ini, situasi syarikat menjadi semakin buruk dan ketika ini berdepan aliran tunai yang sukar. 

 

"Namun, syarikat telah berbincang dengan OCBC untuk membuat pengurangan dan rundingan penyelesaian yang mana ketika ini sedang berjalan. 

 

"Skim penyelesaian ini harus menjadi bentu dan sebahagian daripada pelan regularisasi PN17," katanya hari ini.

 

Brahim dikategorikan sebagai PN17 pada 28 Februari 2019. 

 

Menerusi notis OCBC itu, Brahim's diberi tempoh masa 7 hari daripada tarikh tersebut untuk mengatur pembayaran berkenaan. 

 

Sekiranya, syarikat gagal berbuat demikian, OCBC tidak mempunyai pilihan selain terpaksa mengisytihar dan meminta jumlah bercagar perlu dibayar segera. 

 

Menurut Brahim's, berdasarkan kepada akujanji kepada bank yang mana melibatkan pegangan 100% dalam Tamadan Industries Sdn. Bhd., syarikat bercadang untuk melupuskan dan mencairkan pegangannya dalam anak syarikat itu,

 

"Syarikat akan menggunakan sebahagian besar langkah pelupusan ini untuk penyelesaian dan rundingan seterusnya bagi baki yang masih ada dengan OCBC.

 

"Rundingan dengan bank telah dilakukan dan dipertimbangkan, dan syarikat diminta menyusun rancangan pelupusan dengan membuat cadangan yang lebih konkrit dan penting untuk pertimbangan bank," jelasnya.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020, kerugian bersih Brahim's melonjak sehingga RM153.21 juta berbanding RM14.03 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Perolehan bagi tempoh itu juga susut 73% kepada RM82.39 juta daripada RM308.7 juta, apabila perniagaan katering dalam pesawat dan berkaitan dengannya terjejas dengan ketara. - DagangNews.com