Bukan Tengku Zafrul tempah nasi ganja guna helikopter | DagangNews Skip to main content

Bukan Tengku Zafrul tempah nasi ganja guna helikopter

KUALA LUMPUR 24 Julai — Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz menjelaskan gambar beliau menikmati nasi ganja sebenarnya gambar tahun lepas, selepas gambarnya tersebar luas mendakwa kononnya beliau yang memesan juadah itu menggunakan helikopter dari Ipoh.

 

Semalam, sebuah helikopter mencetuskan kekecohan setelah mendarat di Padang Ipoh untuk mengambil pesanan 36 pek nasi ganja.

 

Pada masa yang sama, gambar lama Tengku Zafrul memakan `nasi ganja' atau juga dikenali sebagai `nasi vanggey' dikaitkan dengan helikopter tersebut, seolah-olah Menteri Kewangan itulah yang membuat pesanan.

 

"Lucu bila terima forwarded WhatsApp message kononnya saya order nasi ganja Ipoh guna helicopter. Mereka guna gambar lama saya makan nasi vanggey pada Dis 2020, tapi crop tarikh. ⠀

 

"Saya sebenarnya dah lama tak makan nasi vanggey, tapi dari order guna helikopter, baik guna delivery service yang banyak ada macam Nasi Kandaq Transporter, Nasi Kandaq Runner etc, boleh juga bantu usahawan kecil," kata Menteri Kewangan dalam laman Facebook rasmi beliau.

 

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalatrash Wahid dilaporkan berkata, pihaknya sudah memanjangkan laporan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengenai helikopter yang mendarat di ibu negeri Perak semalam.

 

"Kami dimaklumkan oleh CAAM, helikopter itu hanya dibenarkan mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah tetapi dia mendarat di Padang Ipoh,". kata beliau.

 

Identiti sebenar pelanggan yang memesan menggunakan helikopter delivery itu belum diketahui setakat ini. - DagangNews.com

 

BACA JUGA : Polis lapor kepada CAAM mengenai helikopter ambil nasi ganja di Ipoh