Polis lapor kepada CAAM mengenai helikopter ambil nasi ganja di Ipoh | DagangNews Skip to main content

Polis lapor kepada CAAM mengenai helikopter ambil nasi ganja di Ipoh

IPOH 23 Julai - Pihak polis telah melaporkan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Ipoh mengenai sebuah helikopter yang mendarat di Padang Ipoh untuk mengambil tempahan `nasi ganja'.

 

Helikopter tersebut dilaporkan mendarat di Padang Ipoh hari ini untuk mengambil pesanan 36 bungkus nasi kandar yang popular di bandaraya itu yang lebih dikenali sebagai ‘nasi ganja’.

 

Kehadiran helikopter yang dipercayai milik sebuah syarikat swasta itu mengejutkan orang ramai kerana ia terbang rendah di sebelum mendarat.

 

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalatrash Wahid yang dihubungi mengesahkan sebuah helikopter dikesan berada di Padang Ipoh pada jam 9.55 pagi hingga 10.15 pagi.

 

“Setelah membuat semakan dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Ipoh didapati helikopter tersebut hanya mendapat kebenaran untuk mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) Ipoh sahaja dan tidak mendapat kebenaran mendarat di Padang Ipoh,” katanya, lapor Utusan Online.

 

Sehubungan itu, kata beliau, pihaknya sudah menyalurkan maklumat tersebut kepada pihak CAAM untuk siasatan lanjut.

 

BACA JUGA : BUKAN TENGKU ZAFRUL TEMPAH NASI GANJA GUNA HELIKOPTER

 

Sementara itu, pemilik perniagaan nasi ganja yang enggan namanya disiarkan mengesahkan dia menerima tempahan 36 bungkus nasi berlauk ayam, daging, telur masin dari pelanggan di Kuala Lumpur.

 

Menurutnya, pada awalnya dia meragui sama ada tempahan itu benar atau gurauan kerana diberitahu pesanan akan diambil menggunakan helikopter.

 

“Saya agak ragu-ragu juga kerana tidak pernah ada pelanggan yang mengambil tempahan dengan menaiki helikopter.

 

“Namun saya terkejut kerana rupa-rupanya tempahan makanan memang benar diambil menggunakan helikopter.

 

“Ini pertama kali tempahan diambil oleh pelanggan menggunakan helikopter. Ini merupakan tempahan paling mewah yang pernah saya terima tetapi harganya tetap sama iaitu RM10 setiap bungkus,” katanya. - DagangNews.com