Skip to main content
DagangNews.com
Kolum WAINUIOMATA - 11 November 2021

Cabaran baru di Pulau Palma Dubai

 

SETELAH tamat dengan projek DuTel, saya meneruskan dengan Mountain of Light kepunyaan Yusuf Islam. Bekerja seperti biasa dengan kesibukan dengan panggilan telefon untuk bertemu.

 

Saya mempunyai kenalan yang semakin ramai dari pelbagai bangsa di Dubai dan berjawatan tinggi atau rendah. Saya melayan semua orang yang mahu bertemu Yusuf Islam termasuk para pendakwah dan ahli perniagaan.

 

Begitu pun saya masih teringat interaksi saya dengan Pulau Palma Dubai yang rasanya sentiasa memanggil saya untuk bekerja di Pulau Palma.

 

Dalam pertemuan dengan Saeed, CEO Pulau Palma dengan kerja di DuTel yang menjadi konsultan untuk Pulau Palma. Saeed begitu sibuk dengan soalan pertama apabila bertemu.

 

"Bagaimana dengan reka bentuk prasarana telekomunikasi?"

 

Saeed bertanya dengan suara yang tinggi. Menambahkan debaran.

 

Saya terangkan apa yang telah dilakukan dalam seminggu. Saeed tidak berminat untuk mendengar 'alasan' saya. Itu tidak penting baginya yang ada banyak isu lebih besar.

 

"Bila boleh siap?"

 

Saya cuba menangguhkan jadual sedikit. Saeed melenting.

 

"Kamu sebagai konsultan dibayar untuk buat siapkan secepat mungkin. Kata ada pengalaman di DIC? Kita tidak boleh tertangguh lagi kerana tender prasarana sudah keluar, kecuali untuk telekomunikasi!"

 

 

wainuiomata
Pulau Palm di Dubai, Emiriah Arab Bersatu disebut sebagai `Keajaiban Kelapan di Dunia'.

 

 

Saeed tidak berminat untuk mendengar penjelasan lanjut dari saya. Saya juga tidak mahu bercakap apa-apa kerana tidak pasti karektor Saeed, bimbang keluar carut dari mulutnya.

 

Sebaik mesyuarat, saya mengadu kepada Dr. Osama mengenai tindak-tanduk Saeed dan perlunya pasukan projek ditambah untuk mengurangkan beban kerja yang bertambah tiba-tiba kerana keperluan segera Palm Palma.

 

Dari perbincangan sampingan dengan konsultan Lebanon yang angkuh tersebut, sempat juga saya dibelasah dengan 'ceramah' mengenai tender kejuruteraan awam.

 

Mamat yang sudah botak itu memberitahu apa yang diperlukan dari saya untuk dimasukkan dalam dokumen tender. Terkial-kial juga dengan kerja-kerja kejuruteraan awam.

 

Contoh tender yang diberikan memberikan saya panduan berguna. Saya sendiri sebenarnya tidak faham pun 'drawings'. Apalagi untuk membuat 'drawings' tender. Memang masalah besar. Selama ini projek IT adalah berlainan.

 

Dr. Osama tidak berlengah menemui orang nombor tiga Dubai World.

 

Pihak Dubai World bersetuju untuk kami mengambil dua staf dari kalangan pengurus yang ada di bawah kami sepenuh masa. Segera kami memilih seorang warga emirati dari pusat IT dan seorang warga India dari Khidmat Korporat (Telekomunikasi) serta seorang setiausaha Arab sebagai penyelaras.

 

 

wainuiomata
Gambar ini dirakam oleh angkasawan NASA yang mengorbit Bumi.

 

 

Kemudiannya, kami berjaya mendapatkan tiga orang profesional dari sebuah syarikat konsultan telekomunikasi Jerman yang pernah bekerja dengan Siemens sewaktu projek DIC. Mereka adalah kontraktor kami di DIC dan menjadi rakan baik walau bahasa Inggeris mereka masih tunggang-langgang.

 

Juga untuk projek Dubai World, kami berjaya mendapatkan khidmat dua orang penganalisis kewangan kanan dari Ernst & Young dan Dubai World membayar segala yuran perkhidmatan.

 

Dengan bertambahnya anggota projek Pulau Palma ini mengurangkan beban saya dan boleh menumpukan perhatian sepenuhnya kepada tugas yang semakin mencemaskan.

 

Saya juga meminta operator CAD untuk membuat drawings. Pihak Palm Jumeirah tidak cukup tangan manakala pihak konsultan angkuh tersebut, setelah ditekan oleh Dr. Osama, berkata saya boleh menggunakan khidmat seorang daripada staf CAD mereka sekadar dua tiga jam sehari.

 

Saya meminta sebuah meja di pejabat konsultan dan memanggil jurutera Cisco `berpindah' sama. Lagi masalah apabila bos Cisco berkata yang mereka tidak mahu terlibat untuk menyediakan tender prasarana, hanya mereka bentuk sistem dan rangkaian telekomunikasi berdasarkan produk mereka. Urusan yang berkaitan kerja-kerja kejuruteraan awam bukan urusan Cisco.

 

Dengan berdasarkan reka bentuk Cisco yang belum siap sepenuhnya, saya mula membuat 'drawings' tender. Pihak konsultan Lebanon berkata yang penting keluarkan dulu tender, apa-apa yang kurang boleh ditambah kemudian sebagai addendum.

 

Konsultan ini `bengkak’ kerana mereka hilang yuran khidmat hampir setengah juta setelah bahagian kerja reka bentuk IT & Telekomunikasi diserahkan kepada saya.

 

Saya memberitahu Dr. Osama, "I have to do whatever necessary to deliver on time! This is a great challenge and nothing can break us!"

 

 

wainuiomata
Pulau buatan manusia ini mengandungi rumah agam, banglo, resort dan hotel.

 

 

Saya segera mengupah seorang jurutera awam dari Palestin yang hebat dengan CAD untuk menyiapkan tender drawings. Jurutera ini terlibat projek di Lapangan Terbang dan hanya boleh melakukan kerja sampingan ini selepas jam 5 petang.

 

Tiada pilihan, saya terpaksa bekerja di pejabat jurutera itu selama tiga malam serta hujung minggu dan membayar jumlah yang agak besar dari poket sendiri.

 

Drawings yang dihasilkan diserahkan kepada konsultan Lebanon untuk dijadikan dokumen tender.

 

Apabila saya beritahu Dr. Osama yang saya membayar segala 'drawings' dari poket sendiri, dia begitu marah.

 

"This is Palm's project, let them pay, not you!"

 

Tetapi saya tiada masa untuk berfikir lagi selain mesti menyiapkan drawings secepat mungkin. Wajah bengis Saeed menghantui minda. Duit tidak penting lagi, yang penting ialah imej dan persepsi.

 

 

wainuiomata
Pulau buatan manusia ini dihubungkan dengan daratan menerusi terowong di bawah dasar laut.

 

 

"Mana senarai BOQ?"

 

Tanya konsultan Lebanon. Marah-marah. Dia tidak berhenti hisap rokok. Satu pejabat berbau asap rokok. Memang suasana yang tidak sihat.

 

Apa kejadah pula BOQ?

 

Saya terlupa dalam tergesa-gesa untuk menyiapkan drawings.

 

Kemudian operator CAD berasal dari India datang. Drawings yang saya sediakan dengan bayaran upah yang agak tinggi, tidak boleh dipakai!

 

Terduduk sekejap. Sudahlah tidak cukup tidur. Petangnya ada pula mesyuarat dengan Saeed.

 

Masalah! Masalah! Mahu kena jerkah dengan Saeed.

 

Pejabat konsultan itu terletak di tingkat 11 bangunan Crowne Plaza yang pernah menjadi pejabat awal DIC sebelum berpindah ke kampus DIC.

 

 

wainuiomata

 

 

Dari tingkap, saya merenung jauh ke arah Emirates Towers, ibu pejabat Pulau Palma di seberang Sheikh Zayed Road.

 

Dan dalam bekerja dengan Mountain of Light, saya mendapat panggilan dari Saeed yang mencadangkan saya bekerja dengan Pulau Palma.

 

Terkejut tetapi gembira.

 

 

Mohd Fudzail Mohd Nor telah aktif menulis di pelbagai medium termasuk sebagai kolumnis portal berita dan memenangi banyak hadiah sastera selama beliau berkelana di luar negara. Kolum Wainuiomata ini adalah bersempena nama bandar universiti beliau di New Zealand. - DagangNews.com

 

 

KLIK DI SINI UNTUK HIMPUNAN KOLEKSI TULISAN WAINUIOMATA

 

Portfolio Tags